Dakwaan terima wang: PKR ambil tindakan tegas terhadap pihak sebar fitnah

Dakwaan terima wang: PKR ambil tindakan tegas terhadap pihak sebar fitnah

Kuala Lumpur: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti itu memandang serius dakwaan yang tular kebelakangan ini, yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.

“Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PKR menegaskan bahawa tuduhan seumpama itu amat mudah dibuat lebih-lebih lagi oleh pihak-pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri.

Justeru, sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.

Fuziah berkata, pihaknya kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan, yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top