Iran tekad berjuang hingga capai kemenangan mutlak

Iran tekad berjuang hingga capai kemenangan mutlak

TEHERAN – Angkatan tentera Iran berikrar akan terus berjuang sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya dalam konflik yang sedang memuncak di Asia Barat ketika ini.

Komander Markas Pusat Khatam al-Anbiya (markas operasi utama ketenteraan Iran), Ali Abdollahi menegaskan, pasukan bersenjata negara itu kekal teguh dalam matlamat mencapai kemenangan mutlak meskipun berdepan tekanan hebat daripada musuh.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau mendakwa, ‘musuh kejam Amerika Syarikat-Zionis’ telah mencetuskan perang dengan tujuan memecah-belahkan serta menguasai Republik Islam Iran.

Menurut beliau, pada hari pertama konflik iaitu 28 Februari lalu, pihak musuh telah melancarkan serangan yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ali Khamenei serta beberapa komander tentera dengan jangkaan bahawa negara itu akan runtuh dalam tempoh 48 jam tanpa kepimpinan utama.

Bagaimanapun, Abdollahi menegaskan jangkaan tersebut meleset apabila rakyat Iran menunjukkan kebangkitan luar biasa, di samping usaha berterusan pasukan tentera sepanjang 25 hari konflik, yang menurutnya telah memberi tamparan besar kepada pihak lawan, khususnya Amerika Syarikat.

Kenyataan itu turut mendakwa kuasa besar dunia yang selama ini menindas negara lain melalui ancaman kini berdepan tekanan hebat dan ‘dipaksa berundur’ di mata dunia.

Dalam perkembangan sama, Abdollahi mendakwa, pihak musuh kini terdesak mencari jalan keluar daripada konflik yang dicetuskan sendiri, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dikatakan sedang berusaha mendapatkan sokongan pemimpin negara lain bagi meredakan situasi selepas gagal mencapai objektif ketenteraan.

Beliau menyifatkan, situasi semasa sebagai detik bersejarah dan satu penghormatan besar buat rakyat Iran yang terus menunjukkan ketahanan dalam menghadapi tekanan luar.

Kenyataan tersebut turut menegaskan kesetiaan angkatan tentera Iran kepada kepimpinan baharu negara di bawah Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei yang dilantik pada 9 Mac lalu susulan kematian Ali Khamenei selepas memimpin negara itu selama 37 tahun.

Sejak tercetusnya konflik, Iran dilaporkan melancarkan serangan balas secara berterusan menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan Amerika Syarikat di Asia Barat serta sasaran Israel di wilayah yang diduduki.

Pegawai Iran turut memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut ke atas infrastruktur negara itu boleh mencetuskan tindak balas lebih besar, termasuk kemungkinan menutup sepenuhnya Selat Hormuz yang merupakan laluan penting perdagangan minyak global. – Agensi

Ringkasan AI

  • Angkatan tentera Iran berikrar akan terus berjuang sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya dalam konflik di Asia Barat
  • Komander Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi menegaskan pasukan bersenjata Iran kekal teguh walaupun berdepan tekanan hebat daripada musuh
  • Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ali Khamenei dan beberapa komander tentera dijangka telah menjadi sasaran serangan pada hari pertama konflik
  • Kenyataan itu mendakwa Amerika Syarikat dan Zionis mencetuskan perang dengan tujuan memecah-belahkan dan menguasai Iran
  • Kesetiaan angkatan tentera Iran dinyatakan kepada kepimpinan baharu negara di bawah Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei
Scroll to Top