Lawan Ireland Utara aksi terbesar dalam karier Gattuso

Lawan Ireland Utara aksi terbesar dalam karier Gattuso

Bergamo, Itali: Gennaro Gattuso menyifatkan aksi separuh akhir play-off Piala Dunia menentang Ireland Utara sebagai paling penting dalam kerjaya kejurulatihannya.

Skuad Itali akan menjadi tuan rumah kepada Ireland Utara di Bergamo, awal pagi esok dalam usaha menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali ke pusingan akhir Piala Dunia selepas gagal layak ke dua edisi terakhir di Rusia dan Qatar.

“Esok sememangnya perlawanan paling penting dalam kerjaya saya,” kata Gattuso kepada wartawan.

“Tetapi saya sudah bersedia, saya tidak memikirkan jika perkara buruk berlaku. Saya mahu berfikir secara positif, berfikir besar dan esok kami akan memberikan yang terbaik.”

Gattuso mengakui perlawanan itu dalam satu sudut lebih besar baginya berbanding final Piala Dunia 2006, yang dimenangi sebagai pemain bersama Itali selepas penentuan sepakan penalti menentang Perancis.

Sejak itu, Itali tidak pernah beraksi dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia, dan kegagalan dalam play-off kelayakan pada 2018 dan 2022 menjadikan perlawanan awal pagi esok sangat penting.

Gattuso berseloroh bahawa dia memerlukan ubat untuk tidur, jika tidak dia akan berjaga sepanjang malam “seperti kelawar” kerana tekanan.

“Itu dunia yang berbeza, saya sudah berhenti bermain bertahun-tahun lalu dan saya pun hampir tidak ingat perlawanan yang pernah saya mainkan,” katanya.

“Tiada perbandingan sebenarnya, bukan dari segi tekanan semata-mata tetapi tanggungjawab yang saya letakkan ke atas diri sendiri.”

Gattuso menambah kebanyakan pemainnya berada dalam keadaan cergas, dengan hanya pertahanan Alessandro Bastoni dan penyerang Gianluca Scamacca menjadi tanda tanya untuk separuh akhir tersebut.

Penyerang Mateo Retegui kembali ke Bergamo, tempat dia muncul sebagai penjaring terbanyak Serie A bersama Atalanta BC pada musim 2024/25, dan di mana dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar 5-0 ke atas Estonia pada September tahun lalu.

“Kami banyak berbincang tentang kekal tenang, tidak terlalu memikirkan tekanan dan memastikan suasana ringan,” kata Retegui, yang kini bermain untuk Al-Qadsiah FC di Arab Saudi.

“Kami tahu hanya ada satu keputusan untuk kami, iaitu menang.”

Jika Itali menewaskan Ireland Utara, yang tidak beraksi di Piala Dunia sejak tersingkir di peringkat kumpulan 40 tahun lalu, mereka akan menentang sama ada Wales atau Bosnia dan Herzegovina di tempat lawan pada awal pagi Rabu.

Ireland Utara pernah mengikat Itali tanpa jaringan di Windsor Park pada 2021, keputusan yang menghalang juara Eropah ketika itu daripada menduduki tempat teratas kumpulan kelayakan dan membawa kepada kekalahan play-off mereka kepada Macedonia Utara.

“Perkara penting bagi kami ialah bermain seperti biasa dan tidak terlalu memikirkan apa yang dipertaruhkan. Jangkaan jelas terletak kepada pasukan besar, iaitu Itali,” kata jurulatih Ireland Utara, Michael O’Neill.

“Saya rasa kami tidak boleh gentar dengan reputasi pemain yang mereka miliki.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top