am@hmetro.com.my
Langkawi: Syarikat pengendali feri mengurangkan perjalanan ke pulau ini daripada lima kepada tiga perjalanan sehari bermula semalam, bagi memastikan kelangsungan operasi dan mengelak pemberhentian pekerja.
Langkah drastik itu terpaksa diambil susulan kenaikan harga diesel industri melebihi 100 peratus yang meningkatkan kos operasi dan menekan pengusaha feri di Langkawi.
Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom berkata, pihaknya tiada pilihan selain mengurangkan jumlah perjalanan.
“Industri pengangkutan feri ke Langkawi kini berdepan risiko serius untuk gulung tikar sekiranya langkah catuan jadual perjalanan tidak dilaksanakan segera susulan lonjakan mendadak harga diesel industri.
“Langkah mengurangkan perjalanan bukan pilihan, sebaliknya keperluan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya maklum terdapat reaksi kurang senang daripada orang ramai yang menganggap langkah itu bermotifkan keuntungan semata-mata.
“Namun persepsi itu tidak mengambil kira realiti sebenar industri apabila kadar tambang feri ke Langkawi antara paling rendah di Malaysia, iaitu sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika.
“Ia jauh lebih rendah berbanding laluan ke Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 bagi setiap batu nautika,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ferry Line mengambil langkah menyusun semula jadual perjalanan selepas Aidilfitri berikutan kenaikan harga diesel industri yang melebihi 100 peratus.
Baharin dipetik berkata, penyusunan semula itu perlu bagi mengurangkan risiko kerugian yang semakin membebankan pengusaha feri, selaras dengan peningkatan kos operasi.
Untuk rekod, Ferry Line ditubuhkan pada 2005 dengan menggabungkan tujuh syarikat feri, sekali gus muncul pengendali feri penumpang terbesar di Langkawi dan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



