harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejadian curi berpuluh kenderaan di Lembah Klang terjawab apabila polis berjaya menumpaskan empat geng penjenayah dikenali sebagai Geng Prakash, Geng Ican, Geng Kobis dan Geng Botak Kuang.
Ia susulan penahanan 21 individu menerusi Operasi Lejang Khas yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata, operasi selama hampir tiga bulan bermula 1 Januari hingga 20 Mac lalu itu turut membawa kepada rampasan 24 kenderaan terdiri 22 motosikal dan dua kereta.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian
Unit Risikan Jenayah (Bahagian Operasi/Rekod Jenayah) (D4), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju serta kerjasama semua balai di bawah pentadbiran daerah berkenaan.
“Seramai 21 individu terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 33 hingga 50 tahun ditahan dan direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan.
“Tangkapan ini termasuk ahli empat kumpulan curi motosikal yang aktif dikenali sebagai Geng Prakash, Geng Ican, Geng Kobis dan Geng Botak Kuang yang aktif antara satu hingga dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Wangsa Maju, tadi.
Tambahnya, siasatan awal mendapati semua suspek terbabit secara langsung dengan kes curi kenderaan yang disiasat. Ujian urin yang dilakukan juga menunjukkan semua suspek positif dadah.
Menurutnya, sebanyak 24 kenderaan yang dilaporkan hilang pada 2024 dan 2025 berjaya dirampas dalam operasi khas itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM248,000.
“Lima kenderaan sudah diserahkan semula kepada pemilik asal manakala selebihnya diserahkan kepada beberapa IPD lain untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan juga mendapati sebahagian kenderaan yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu serta ada yang dilaporkan hilang di daerah lain termasuk Gombak, Sungai Buloh dan Bera, Pahang,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri motosikal popular seperti Yamaha LC, V8 dan 125Z menggunakan teknik ‘kepak hendal’ (memecah kunci hendal) sebelum ditunda dengan motosikal lain dan ada yang dilarikan menggunakan van.
Menurut beliau, kenderaan yang dicuri kemudian dijual sama ada sebagai unit lengkap atau alat ganti yang dijual melalui platform dalam talian termasuk Facebook selain atas permintaan dan kebiasaan harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Sepanjang operasi ini juga, polis menjalankan pemeriksaan terhadap 4,109 individu, 3,157 kenderaan serta 10 premis bengkel bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman komuniti terus terpelihara.
“Setakat ini, seramai lima orang sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohamad Lazim berkata, statistik tahun lalu menunjukkan sebanyak 322 kes curi motosikal direkodkan di daerah Wangsa Maju dengan nilai kerugian RM2.6 juta, dengan kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan pusat komersial dikenal pasti sebagai lokasi panas jenayah berkenaan.
Menurut beliau, polis akan terus mempertingkat rondaan di kawasan seluas 87.3 kilometer persegi di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju bagi membanteras kegiatan itu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuai seperti meninggalkan kunci pada kenderaan, guba kunci tambahan selain meletakkan motosikal di kawasan selamat serta mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




