Kerajaan, polis mohon kebenaran rayu kes kematian tahanan

Kerajaan, polis mohon kebenaran rayu kes kematian tahanan

Putrajaya: Kerajaan dan polis memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kedua-dua pihak bertanggungjawab secara vikarius atas kematian seorang penggali kubur ketika dalam tahanan polis pada 2019.

Peguam M Visvanathan ketika dihubungi Bernama, mengesahkan permohonan itu difailkan bulan lepas dan telah diserahkan kepada firma guamannya yang mewakili ibu si mati Fadhelah Othman.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 30 Mac ini di Mahkamah Persekutuan.

Menerusi notis usul, kerajaan dan polis memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mendapati kedua-duanya bertanggungjawab terhadap kematian Mohd Fadzrin Zaidi.

Dalam permohonan itu, kerajaan dan polis turut mengemukakan dua persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohd Fadzrin ditahan polis dalam satu serbuan berkaitan dadah pada 20 Nov 2019 sebelum direman selama tujuh hari. Dia ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di mana dia ditemukan tergantung di dalam selnya pada awal pagi keesokan hari.

Pada 2022, Fadhelah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Georgetown terhadap polis dan kerajaan berhubung kematian anaknya.

Pada Mei 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan itu dan memutuskan polis cuai kerana gagal menghalang Mohd Fadzrin, 29, daripada membunuh diri ketika dalam tahanan, manakala kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian berkenaan.

Mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM147,600 serta kos guaman RM50,000 kepada Fadhelah.

Mahkamah Rayuan kemudian menolak rayuan kerajaan dan polis untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bertanggungjawab terhadap kematian Mohd Fadzrin.

Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM97,600. Mahkamah mengekalkan award RM57,600 bagi kehilangan tanggungan, RM30,000 untuk kesakitan dan penderitaan serta RM10,000 ganti rugi khas, namun mengetepikan RM50,000 ganti rugi teruk yang sebelum ini diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas yang difailkan Fadhelah bagi memohon peningkatan jumlah ganti rugi teruk dan kehilangan tanggungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top