‘Tol’ lalu Selat Hormuz

‘Tol’ lalu Selat Hormuz
‘Tol’ lalu Selat Hormuz

Dianggarkan 2,000 hingga 3,000 kapal kargo dan tangki minyak terkandas di perairan Teluk Parsi berhampiran Selat Hormuz sejak lebih tiga minggu lalu.

TEHERAN – Parlimen Iran sedang menggubal rang undang-undang (RUU) yang akan mengenakan bayaran terhadap kapal perdagangan yang mahu melintasi Selat Hormuz dengan selamat.

Agensi berita Fars melaporkan rancangan itu akan dimuktamadkan pada minggu depan selepas Teheran kini membenarkan sejumlah kapal bukan musuh menyeberangi laluan maritim terpenting itu.

Menurut industri perkapalan, caj bayaran tidak rasmi yang akan dikenakan berkemungkinan mencecah sehingga AS$2 juta (RM8 juta).

Lintasan sempit itu telah ditutup secara separa sebagai respons tegas terhadap kempen pencerobohan dilancarkan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel pada 28 Februari lalu.

Sejak itu, Selat Hormuz telah menjadi tumpuan utama konflik tersebut kerana ia telah menjejaskan penghantaran bekalan minyak ke banyak negara.

Pada Rabu, Teheran menolak cadangan Presiden Donald Trump mahu menamatkan perang yang telah berlarutan selama sebulan.

Ia menegaskan serangan balas akan diperhebatkan sehingga lima syarat yang ditetapkan mereka dipenuhi oleh Washington.

Antara tuntutan dibuat Iran termasuk menghentikan kempen pencerobohan dan pembunuhan pemimpin mereka, pembayaran pampasan perang dan pengiktirafan kedaulatan terhadap Selat Hormuz.

Senarai syarat itu dikemukakan selepas AS mencadangkan pelan 15 perkara bagi menamatkan konflik di Asia Barat yang turut melibatkan komitmen Iran untuk menghentikan projek pembangunan senjata nuklear. – Agensi

Ringkasan AI

  • Parlimen Iran sedang menggubal rang undang-undang yang mengenakan bayaran ke atas kapal perdagangan melintas Selat Hormuz
  • Rancangan RUU akan dimuktamadkan selepas Iran membenarkan kapal bukan musuh melalui Selat Hormuz
  • Caj bayaran tidak rasmi yang dikenakan mungkin sehingga AS$2 juta
  • Selat Hormuz ditutup secara separa sebagai respons kepada kempen pencerobohan AS dan Israel
  • Iran menolak cadangan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang, menegaskan serangan akan diperhebatkan sehingga syarat mereka dipenuhi
Scroll to Top