35 tahun meneroka waktu

35 tahun meneroka waktu

TEPAT hari ini, kira-kira 35 tahun lalu, bermula satu revolusi baharu dalam dunia kewartawanan dan persurat- khabaran Malaysia – sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Lembaran yang awalnya dihidupkan oleh tujuh eksekutif kanan serta dibantu 12 wartawan, sembilan penyunting serta tiga jurugambar menyaksikan Harian Metro yang dilancarkan secara rasmi pada 25 Mac 1991, mencipta pelbagai kejayaan yang ditinta emas sepanjang lebih tiga dekad lalu.

Perancangan awal bermula pada 1990 lagi. Namun ia mencapai kemuncaknya apabila pada 1 Mac 1991 apabila bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid dan bekas Pengarang Harian Metro, Ahmad Puad Onah dipertanggungjawabkan mengetuai satu pasukan khas untuk menerbitkan akhbar terbaharu kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Idea untuk menerbitkan satu akhbar tabloid berbahasa Melayu kumpulan NSTP tercetus ketika Datuk Nazri Abdulah menjadi Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB).Tiga strategi utama disusun sebelum pelancaran.

Harian Metro akan diperkenalkan sebagai akhbar petang pertama Malaysia yang akan berada di pasaran jam 2 petang, sekali gus menjadi wadah yang menyajikan berita paling terkini berbanding akhbar nasional lain yang dijual pada waktu pagi.

Kedua, untuk permulaan, Harian Metro, yang namanya dicadangkan sendiri oleh Ahmad Puad, turut dirancang untuk dipasarkan di Lembah Klang sahaja untuk memperhitungkan dulu maklum balas daripada kalangan pembaca.

Dan ketiga, yang ini lebih penting, Harian Metro akan tampil dengan gaya pelaporan kewartawanan yang langsung berbeza: bukan naskhah politik, tetapi paparan beritanya menyingkap kisah hitam putih kehidupan manusia di sebalik setiap peristiwa yang berlaku.

Bahasanya dekat dengan pembaca, penyampaiannya ringkas dan terus kepada inti. Tajuk setiap berita juga harus mengusik sanubari. Reka letaknya tidak kaku, tetapi lebih ‘wild’ – sesuai dengan jiwa sebuah akhbar tabloid, tetapi dengan cita rasa Malaysia.

Ditawarkan pada harga jualan 50 sen senaskhah, Harian Metro mula menemui pembaca pada Isnin 25 Mac 1991 bersamaan dengan 8 Ramadan 1411 dengan ilustrasi menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad yang ikonik ditampilkan bersebelahan dengan ‘masthead’.

Dalam usaha mempromosi produk terbaharu ini, 30,000 naskhah diterbitkan dan diedarkan secara percuma selama seminggu kepada warga kota.

Kewartawanan yang segar dan di luar kelaziman yang disajikan dengan pantas berjaya memikat perhatian pembaca di Kuala Lumpur. Lebih membanggakan, warga Harian Metro komited bekerja 24 jam sehari secara bergilir bagi memasti- kan setiap perkembangan terkini dapat disampaikan dengan cepat, tepat dan berintegriti.

Usaha berterusan ini membolehkan pembaca di Lembah Klang sentiasa menikmati laporan berita yang relevandan terkini pada setiap petang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Harian Metro sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

Tragedi letupan kilang mercun Bright Sparklers pada 7 Mei 1991 menyaksikan Harian Metro muncul sebagai pilihan utama pembaca untuk mengikuti perkembangan terkini insiden yang meragut 26 nyawa itu.

Liputan yang pantas, menyeluruh dan berterusan menjadikan Harian Metro dalam waktu singkat menjadi rujukan penting masyarakat dalam mendapatkan maklumat sahih.

Kewibawaan kewartawanan turut terserlah apabila Harian Metro mendekati rakyat secara langsung dengan mengutarakan permasalahan mereka dan mencari jalan penyelesaian yang tuntas.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan pembaca, malah membuktikan peranan media sebagai jambatan di antara masyarakat dan pihak berwajib dalam memastikan setiap suara didengari serta ditangani secara berkesan.

Ini seterusnya membawa kepada pengenalan ‘hotline’ Talian Gerak Kilat yang cukup popular pada masa itu. Ada masalah, telefon Harian Metro.Setahun kemudian, selepas memperkukuhkan jenama kewartawanan baharu di Lembah Klang menerusi edisi KL, Harian Metro mengembangkan liputan ke selatan tanah air menerusi Edisi Johor pada 25 Mac 1992.

Seterusnya Harian Metro menemui kalangan pembaca di Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menerusi Edisi Utara yang dilancarkan pada 1 Ogos 1994.

Bagi meluaskan konsep pemberitaan setempat yang mendapat sambutan dalam kalangan khalayak umum, Harian Metro selanjutnya memperkenalkan Edisi Tengah pada Ogos 1995 merangkumi Negeri Sembilan dan Melaka.

Kelahiran Harian Metro seterusnya menjadi lengkap apabila edisi hari Ahad diperkenalkan pada 20 Ogos 1995 dengan cetakan pertama sebanyak 100,003 naskhah.

Jangkauan Harian Metro turut merentasi Laut China Selatan apabila Edisi Sabah dan Sarawak dilancarkan pada 2000 sebagai langkah memperluaskan pengaruh akhbar popular ini ke Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu.

Seiring dengan perubahan pantas dunia, Harian Metro turut mengasaskan Unit Media Baru dan melancarkan laman web Harian Metro menerusi alamat https:www.hmetro.com.my pada 2000.

Kini laman yang lebih dikenali sebagai myMetro muncul antara dua platform berita utama di Malaysia dengan sejuta pelawat saban hari.

Percongkahan yang jitu serta usaha tanpa mengenal lelah yang dilaburkan membuahkan hasil apabila angka jualan Harian Metro dan Metro Ahad berterusan memecahkan rekod demi rekod, seraya mencipta fenomena baharu dalam industri persuratkhabaran tanah air, sekali gus mendorong pesaing meniru formula kedua-dua akhbar ini.

Angka menjadi saksi apabila Harian Metro mencatatkan jualan tertinggi sebanyak 487,685 naskhah pada 18 September 2010.

Dan sehari selepas itu, Metro Ahad pula melakar pencapaian baharu dengan jualan 508,416 naskhah.Pertumbuhan luar biasa yang mencuri tumpuan penganalisis media tempatan itu tidak terhenti di situ. Sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, edaran Harian Metro mengecapi rekod lebih tinggi dengan jualan 603,000 naskhah.

Jualan yang memberangsangkan membuktikan strategi yang diguna pakai selama ini berhasil, sekali gus menobat- kan Harian Metro sebagai akhbar paling laris dalam sejarah industri persuratkhabaran Malaysia.

Jika statistik berkenaan memaparkan aspek bisnes Harian Metro, kualiti kewartawanan Harian Metro turut menerima pengiktirafan terulung apabila berjaya meraih Anugerah Kajai sebanyak tiga kali menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS.

Anugerah tertinggi dalam dunia kewartawanan tempatan itu membuktikan keupayaan sidang editorialmenghasilkan karya pemberitaan yang berkualiti tinggi, berimpak besar serta memenuhi piawaian dalam dunia media tempatan.

Kejayaan pertama diraih pada tahun 1993 menerusi laporan bertajuk ‘Kakakku Penyelamatku’ hasil tulisan wartawan Rasid Rahaman dan Hamid Karim.

Karya yang disiarkan pada 17 Disember 1992 itu adalah contoh klasik kewartawanan penyiasatan Harian Metro apabila berjaya menyelamatkan seorang remaja 16 tahun daripada sindiket pelacuran di Chow Kit.

Bermula dengan niat membantu rakan, usaha bersama polis dan pihak berkuasa membawa kepada kejayaan menyelamatkan mangsa dalam tempoh 24 jam.

Pada 2022, Harian Metro sekali lagi meraih Anugerah Kajai menerusi kisah Rohana Abdullah yang menyaksikan wartawan Yusmizal Dolah Aling berjaya membantu wanita itu memperoleh dokumen pengenalan diri selepas dibesarkan sejak bayi oleh seorang wanita warga emas Cina.

Laporan tersebut yang disiarkan secara bersiri sepanjang 2021 bukan sahaja mencetuskan simpati masyarakat, malah menarik perhatian pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri ketika itu,1991-2026 Ismail Sabri Yaakob.

Kali ketiga Harian Metro meraihAnugerah Kajai adalah pada 2024 menerusi laporan eksklusif ‘Rumah Penyeksaan.’ Laporan yang dihasilkan oleh wartawan Yusmizal Dolah Aling bersama pasukannya itu mendedahkan sisi gelap sebuah rumah kebajikan.

Ia mencerminkan keberanian, integriti serta komitmen pasukan editorial dalam memperjuangkan kebenaran. Sejak penubuhannya pada 1991 hingga kini, khalayak pembaca dan Harian Metro terus kekal akrab.

Tanpa pembaca tiadalah Harian Metro. Menyedari hakikat berganding bahu dan meringankan beban masyarakat turut menjadi tanggungjawab bersama, Harian Metro menggerakkan dua projek berasaskan masyarakat yang mencapai kejayaan besar dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti serta membantu golongan memerlukan sepanjang masa.

Tabung Bantuan Prihatin Harian Metro dilancarkan pada 18 November 2019 bagi membantu golongan yang terkesan dan memerlukan dengan tujuan meringankan beban kewangan serta menyalurkan bantuan segera kepada individu dan keluarga yang menghadapi kesulitan hidup.

Satu lagi projek yang dilaksanakan dengan jayanya sejak 19 tahun lalu adalah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang memenangi Anugerah Media of the Year: Media for Good Award 2025 sebagai pengiktirafan untuk usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) akhbar ini sejak 2007.

Anugerah tersebut menjadi pemangkin untuk memperluas bantuan kepada lebih ramai penerima, sekali gus menonjolkan peranan Harian Metro sebagai organisasi media yang prihatin dan ikhlas dalam menyantuni masyarakat.

Hari ini, tiga puluh lima tahun sudah beransur. Namun semangat kewartawanan Harian Metro terus membara. Keinginan kami untuk berbakti kepada masyarakat tidak pernah padam.

Terima kasih kepada semua pengarang kumpulan/eksekutif yang pernah menabur bakti: Allahyarham Ahmad Puad Onah, Allahyarham Zian Johari, Allahyarham Datuk Hafifi Hafidz, Abdul Ghafar Ibrahim, Datuk Mustapa Omar, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Kumpulan sekarang, Husain Jahit.

Terima kasih juga kepada semua wartawan dan pemberita sambilan yang pernah berjuang bersama Harian Metro.

Jasa anda semua tetap dikenang dan dihargai sepanjang zaman.

Tiadalah kami tanpa anda, pembaca yang setia bersama kami sejak 35 tahun lalu.

Terima kasih tak terhingga untuk anda semua. Sokongan dan kepercayaan anda menjadi nadi yang menghidupkan setiap naskhah, menguatkan langkah kami untuk terus menyampaikan kisah, suara dan harapan masyarakat untuk hari ini, esok dan selamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top