Tehran: Iran mahu mengenakan bayaran bagi kapal yang melalui Selat Hormuz secara sah dari segi undang-undang, kata Ahli Parlimen Iran, Mohammadreza Rezaei Kouchi pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada 24 Mac, Bloomberg melaporkan yang Tehran mula mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta bagi kapal komersial yang transit di Selat Hormuz.
“Kami mahu merangka satu rang undang-undang di mana kedaulatan, penguasaan dan kawalan ke atas Selat Hormuz akan termaktub dalam undang-undang, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan bagi negara melalui tol. Versi awal sudah siap, tetapi ia belum lagi mewakili rang undang-undang yang lengkap,” kata ahli parlimen itu seperti yang dipetik oleh Tasnim.
Beliau berkata bayaran itu perlu “bagi menjamin keselamatan kapal” yang melalui laluan air yang menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman itu.
Kerja merangka rang undang-undang itu akan diteruskan dalam masa terdekat, sebelum ia dipertimbangkan dalam sesi terbuka parlimen.
Timbalan Menteri Luar Iran Vahid Jalalzadeh berkata, Tehran sedang membangunkan rejim perundangan baharu bagi Selat Hormuz yang akan berkuat kuasa selepas konflik berakhir, dengan rancangan Iran untuk bekerjasama dengan Oman dalam perkara ini.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang mengakibatkan kerosakan dan kematian orang awam.
Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.
Ketegangan di sekitar Iran menyebabkan berlakunya sekatan secara de facto di Selat Hormuz, iaitu laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global.
Ia juga menjejaskan eksport minyak dan tahap pengeluaran di rantau itu, sekali gus memacu kenaikan harga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




