Tehran: Menteri Pertahanan Israel mendakwa bahawa komander tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Alireza Tangsiri terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan.
Pembunuhan Tangsiri yang dilaksanakan pada malam Rabu turut menyasarkan beberapa “pegawai kanan tentera laut”, lapor media Israel Katz menerusi satu kenyataan video pada Khamis.
“Individu yang memikul tanggungjawab langsung ke atas operasi memasang periuk api dan menyekat laluan perkapalan di Selat Hormuz telah diletupkan serta dihapuskan,” katanya.
Sejak bermulanya perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, Israel mengumumkan siri pembunuhan beberapa pegawai tinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dan ketua keselamatan Ali Larijani.
Namun, angka korban membabitkan orang awam jauh lebih tragis.
Dalam tempoh hampir sebulan, sekurang-kurangnya 1,937 individu terkorban termasuk 452 wanita dan kanak-kanak, maklum Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Ali Jafarian kepada Al Jazeera. Malah, sekurang-kurangnya 24,800 orang cedera, merangkumi 4,000 wanita dan 1,621 kanak-kanak.
Wartawan Al Jazeera, Ali Hashem yang melaporkan dari Tehran menyifatkan Tangsiri sebagai “komander terkenal” yang memainkan peranan penting dalam membentuk doktrin tentera laut serta strategi negara itu di Selat Hormuz.
“Beliau menerajui tentera laut IRGC selama bertahun-tahun dan dikenali melalui usaha membangunkan pasukan teknikal. Beliau juga bertanggungjawab membangunkan dron bagi kegunaan maritim ketenteraan,” kata Hashem.
Hashem berkata, sejak kebelakangan ini Tangsiri berada di bandar pelabuhan Abbas bagi memantau usaha Iran menegaskan kawalan di Selat Hormuz dengan menyekat beberapa kapal.
Tindakan Tangsiri memuat naik status di media sosial berkaitan kapal yang dibenarkan melalui selat itu menyumbang kepada lonjakan harga tenaga global.
“Beliau antara komander yang terselamat daripada dua gelombang pembunuhan pada 2025 dan 2026. Akhirnya, beliau terbunuh di Bandar Abbas mengikut laporan pihak Israel,” jelas Hashem.
Laksamana Brad Cooper, komander Markas Pusat AS, mendakwa pembunuhan Alireza Tangsiri “menjadikan wilayah ini lebih selamat”. Beliau menerusi hantaran di aplikasi X menyatakan tentera AS memusnahkan kira-kira 92 peratus aset laut besar Iran dalam operasi yang sedang berlangsung.
Tohid Asadi dari Al Jazeera yang juga berada di Tehran melaporkan belum ada pengesahan rasmi daripada pihak Iran berhubung kematian Tangsiri.
“Jika benar, ini satu lagi tamparan hebat buat negara yang telah kehilangan ramai komander tentera,” katanya.
Ketua pasukan separa tentera Basij, Brigedier Jeneral Gholamreza Soleimani dan Menteri Risikan Esmail Khatib turut terbunuh dalam serangan Israel sebelum ini.
Beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel melancarkan siri serangan menyasarkan aset laut Iran. Minggu lalu, serangan udara Israel mengenai beberapa kapal tentera laut Iran di Laut Caspian, termasuk kapal yang dilengkapi sistem peluru berpandu, kapal sokongan dan bot peronda.
Iran bertindak menyekat kapal yang dianggap mempunyai kaitan dengan perang AS dan Israel daripada melalui Selat Hormuz, namun masih membenarkan sebilangan kecil kapal lain merentasi laluan penting itu.
Jasem Mohamed Albudaiwi, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mendedahkan Iran mengenakan bayaran bagi laluan selamat melalui selat berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



