Lesen memandu tamat lebih 36 bulan tak layak terima subsidi BUDI95 – JPJ

Lesen memandu tamat lebih 36 bulan tak layak terima subsidi BUDI95 – JPJ

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang membiarkan lesen mereka tamat tempoh melebihi 36 bulan bukan sahaja tidak lagi layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), malah perlu menjalani semula ujian kompetensi memandu sebelum lesen boleh diperbaharui.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, LMM hanya diklasifikasikan sebagai aktif sekiranya tempoh tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan daripada tarikh akhir pembaharuan sebelumnya.

Foto arkib: Bernama

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 selain boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa perlu menjalani sebarang ujian tambahan.

“Namun sekiranya lesen memandu telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegang lesen tersebut tidak lagi layak menerima subsidi BUDI95.
“Selain itu, pembaharuan lesen tidak boleh dilakukan secara terus dan pemegang lesen diwajibkan menjalani semula ujian kompetensi memandu di mana-mana Institut Memandu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Foto arkib: Bernama

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemegang lesen memandu Malaysia agar sentiasa memastikan lesen diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan status lesen menjadi tidak aktif.

“Tindakan ini penting bagi memastikan kelayakan berterusan untuk menerima subsidi BUDI95.
“Walau bagaimanapun, sekiranya mana mana individu memandu kenderaan motor, lesen memandu yang dipegangnya hendaklah masih berkuatkuasa iaitu belum tamat tempoh,” ujarnya.

Tambahnya, JPJ akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Sumber: Facebook JPJ

Scroll to Top