Spekulasi rumah tangga tidak halang Zizi Kirana terus berkarya

Spekulasi rumah tangga tidak halang Zizi Kirana terus berkarya

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik spekulasi rumah tangga yang masih menjadi tanda tanya ramai, penyanyi, Zizi Kirana, 41, tetap teruja muncul dengan lagu selawat terbaharu, Mahallul Qiyam.

Zizi atau nama sebenar, Nur Fazelah Mad Tahil tampil mempertaruhkan alunan lagu selawat Mahallul Qiyam yang diterbitkan oleh Hafiz Hamidun dan kini sudah dimuat naik di YouTube sejak 24 Mac lalu.

Menerusi video dimuat naik di Instagram (IG), Zizi berkata, selawat Mahallul Qiyam pernah dikongsikannya ketika mengikuti pelayaran dengan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pada tahun lalu.

“Tahun lepas ketika saya pergi belayar, saya ada kongsikan selawat ini (Mahallul Qiyam). Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang sangat baik daripada anda semua.

“Ramai yang kongsikan dan ramai juga sama-sama berselawat. Sekarang, alhamdulillah saya sudah rakamkannya (Mahallul Qiyam) dalam versi studio serta boleh didengari pada semua platform digital,” katanya.

Menurutnya, harapannya kini agar lagu selawat Mahallul Qiyam itu dapat dikongsikan kepada lebih ramai pendengar menerusi media sosial termasuk memohon doa yang terbaik buat dirinya.

Rata-rata netizen menerima baik kemunculan Zizi dengan lagu selawat terbaharu itu serta mendoakannya agar terus berdakwah selain memperoleh keberkatan kehidupan daripada Allah.

Terdahulu, Zizi menjadi sorotan ramai di media sosial apabila didakwa tidak meraikan hari raya Aidilfitri dengan suami, Yusuf Bahrin, 34, dan masing-masing didapati meluangkan masa bersama keluarga secara berasingan.

Spekulasi yang timbul menjadi lebih hangat selepas kedua-duanya memuat naik gambar sambutan 1 Syawal baru-baru ini di media sosial tanpa kehadiran pasangan di sisi.

Yusuf yang berkongsi foto bersama ahli keluarganya menulis kapsyen ringkas, “Raya dalam suasana tenang,” sekali gus secara tidak langsung mengundang persoalan dalam kalangan wargamaya.

Pada masa sama, Zizi juga didapati turut memuat naik gambar seorang diri tanpa kehadiran Yusuf dalam hantaran yang dikongsi.

Pasangan Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021. Hampir lima tahun berkahwin, mereka hingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top