Putrajaya: Sebaik diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari berazam membawa kementerian diterajuinya ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.
Dilantik dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata bagi membalas kepercayaan diberikan, satu pendekatan berteraskan mentaliti ‘JUARA’ diperkenalkan bagi memperkasa pembangunan sukan dan belia di negara ini.
Beliau berkata, ‘JUARA’ merujuk kepada jati diri (J), unggul (U), aktif (A), relevan dan responsif (R) serta agresif (A).
“‘U’ adalah unggul, iaitu kita mesti mengungguli setiap temasya yang disertai. ‘A’ pula aktif, dengan usaha melahirkan lebih ramai anak muda yang aktif bersukan serta menyertai program kepimpinan.
“Kemudian, ‘R’ iaitu relevan dan responsif, bermakna anak muda perlu relevan dengan peredaran masa serta responsif terhadap isu semasa, manakala sukan negara juga perlu berada di peringkat dunia. ‘A’ seterusnya ialah agresif, dengan kita bergerak secara pantas, proaktif dan agresif,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sering dianggap sebagai kementerian kecil, peranannya amat signifikan dalam menentukan masa depan serta hala tuju negara.
“Pada pandangan saya , ini satu kementerian amat penting berbanding kementerian lain. Inilah kementerian yang menentukan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata portfolio belia yang digalas kementerian itu amat kritikal memandangkan golongan muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Selain itu, katanya sektor sukan juga merupakan aset penting serta kebanggaan negara.
Dalam rombakan Kabinet itu, Dr Mohammed Taufiq menggantikan Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
© New Straits Times Press (M) Bhd




