am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan dakwaan tular di media sosial Threads yang mendakwa agensi itu menjual 19 ekor gajah kepada pihak tertentu.
Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.
Menurutnya, gajah-gajah berkenaan tidak dijual, sebaliknya dipindahkan secara pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan.
Beliau berkata, langkah pemindahan itu merupakan sebahagian daripada strategi jabatan untuk memastikan kelangsungan spesies sekiranya berlaku wabak penyakit, bencana alam atau gangguan di habitat asal.
Selain itu katanya, ia juga bertujuan mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar serta memperkukuh program konservasi melalui kerjasama dengan pihak berkaitan.
“Pendekatan ini berfungsi sebagai ‘insurans populasi’, di mana penempatan sebahagian gajah di lokasi berbeza dapat mengurangkan risiko kehilangan populasi secara besar-besaran akibat faktor luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, termasuk dalam aspek pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan, pemakanan serta pengurusan habitat moden.
Semua gajah yang dipindahkan akan terus berada di bawah pemantauan dan kawal selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Perhilitan melalui rekod pengurusan, pemantauan kesihatan dan laporan berkala daripada pihak penerima.
Dalam pada itu, kementerian memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap usaha konservasi negara. Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
Orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dan sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi daripada NRES dan PERHILITAN bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




