am@hmetro.com.my
Melaka: Paras air di semua empangan utama di negeri ini direkodkan merosot sehingga 25 peratus berikutan kekurangan taburan hujan sejak kebelakangan ini.
EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun berlaku penurunan, bekalan air bersih negeri masih pada tahap terkawal dan mencukupi untuk keperluan semasa.
Katanya, data semasa menunjukkan paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan masing-masing menunjukkan penurunan sekitar 20 hingga 25 peratus.
“Walaupun terdapat penurunan, keadaan masih lagi terkawal dan belum menjejaskan bekalan air kepada pengguna. Kerja pengepaman air ke loji rawatan air di seluruh negeri turut dilaksanakan secara berkala bagi memastikan bekalan mencukupi dan berterusan.
“Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan, negeri ini dijangka kembali menerima hujan pada awal April depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan mengelak pembaziran.
“Kita bagaimanapun sudah merangka pelan kesiapsiagaan sekiranya paras air terus menurun ke tahap kritikal bagi memastikan bekalan air kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad, berkata, kerajaan negeri belum bercadang untuk melakukan operasi pembenihan awan (OPA) buat masa ini dan memantau bekalan air mentah di semua empangan berkenaan.
Katanya, status pengeluaran air di empangan masih terkawal dan operasi OPA akan dimaklumkan kemudian sekiranya terdapat keperluan, termasuk catuan air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




