Raya tak lengkap tanpa arwah ibu mentua, anak di Jerman

Raya tak lengkap tanpa arwah ibu mentua, anak di Jerman

am@hmetro.com.my

Suasana malam raya meriah dengan gelak tawa saudara-mara serta bunyi dentuman mercun kini hanya tinggal memori buat penyanyi dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal.

Pemilik nama Mizal Zaini ini mengakui pengalaman pulang ke kampung halaman detik paling tidak boleh dilupakan kerana dipenuhi dengan aktiviti berkumpul bersama ahli keluarga.

“Tapi, bagi saya momen itu dah tak ada. Selalunya sekarang ini, apabila balik (kampung), anak-anak buah akan masuk bilik dan main permainan video sahaja. Jadi, mereka tak rasa sangat (kemeriahan hari raya),” katanya.

Sambutan Aidilfitri buat anggota kumpulan 4U2C itu pada tahun ini juga bakal diselubungi suasana hiba kerana kali pertama menyambutnya tanpa insan tersayang di sisi.

Meskipun bakal meraikan lebaran di ibu kota, AC mengakui hatinya agak berat memikirkan ketiadaan arwah ibu mentua yang menetap bersamanya, selain ketiadaan seorang anaknya yang berada di Berlin, Jerman.

“Tahun ini saya beraya di Kuala Lumpur dan perkara menyedihkan apabila beraya tanpa anak saya yang berada di Berlin.

“Ini juga raya pertama saya dan isteri tanpa arwah ibu mentua yang tinggal bersama saya selama lebih 17 tahun,” katanya.

Pelakon filem Baik Punya Cilok ini mengakui persiapan raya dibuat secara sederhana, manakala pemilihan warna tema sedondon adalah kewajipan buat keluarganya untuk dijadikan kenangan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, AC berpendapat penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam penghasilan karya muzik tidak seharusnya dilihat satu ancaman, sebaliknya perlu diterima sebagai sebahagian daripada evolusi zaman yang sedang berlaku ketika ini.”Kita hidup dalam zaman AI dan ini adalah zaman peralihan. Zaman AI ini akan berlarutan, jadi kita sendiri kena masuk ke dalam dunia ini,” katanya.

Bagaimanapun, AC menegaskan bahawa teknologi terbabit tidak seharusnya disalahgunakan sehingga membunuh nilai kreativiti dan hak asli sebagai seorang pencipta lagu.

“Cuma, janganlah disalahgunakan. Lagu itu boleh untuk dijadikan sebagai panduan, tapi untuk hak pencipta, kita perlu gubah dan susun semula lagu tersebut.

“Bagi saya tak ada masalah, cuma janganlah keluarkan lagu yang sama daripada AI itu. Itu salah dan menunjukkan kita tak berkarya,” kongsinya.

Menyentuh mengenai pandangan sesetengah pihak terhadap muzik janaan AI, AC berpendapat orang ramai seharusnya menikmati sahaja karya yang dihasilkan tanpa perlu terlalu mempertikaikan proses di sebaliknya.

Menurutnya, penggunaan teknologi AI dalam penghasilan lagu tidak seharusnya disekat hanya kerana alasan kononnya karya yang dihasilkan itu tidak mempunyai ‘jiwa’ atau gagal menyentuh perasaan pendengar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top