hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Ramai ingat Yaman hanya mengenai perang, tetapi apabila saya sendiri sampai di Tarim, saya dapati suasananya aman dan orangnya sangat memuliakan tetamu,” kata penuntut Malaysia di Yaman, Syed Muhammad Nauval Syed Abdullah.
Persepsi bahawa Yaman sebuah negara yang sentiasa bergolak tidak mematahkan semangat anak muda berusia 22 tahun itu untuk melanjutkan pengajian di negara berkenaan demi mendalami bahasa Arab dan ilmu agama.
Anak kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur ini menuntut di Universiti Al Wasatiyyah, Tarim dalam bidang Fiqh Tahawwulat iaitu cabang ilmu fiqh yang membincangkan hukum-hakam Islam dalam konteks perubahan zaman.
Katanya, dia berangkat ke Yaman pada April tahun lalu selepas menamatkan pengajian tahfiz serta mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program fast track.
“Pada awalnya, saya hanya merancang untuk berada di Yaman selama setahun bagi memperbaiki penguasaan bahasa Arab.
Namun, selepas berbincang dengan keluarga, khususnya ibu, saya membuat keputusan menyambung pengajian universiti selama kira-kira empat tahun di sana.
“Sebelum berangkat saya mengakui sering mendengar pelbagai cerita mengenai konflik yang berlaku di Yaman sehingga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan negara itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.
Sepanjang berada di Yaman, Nauval banyak membuat perkongsian aktivitinya di sana termasuk melakukan solat Tarawih 100 rakaat dari masjid ke masjid ketika bulan Ramadan lalu. Video yang dimuat naiknya menerima pelbagai komen positif pengikut.
Katanya, bagaimanapun, rakan-rakannya yang lebih awal belajar di Tarim memaklumkan kawasan itu terkenal sebagai kota ilmu dan antara tempat yang relatif selamat kerana masyarakatnya tidak banyak terbabit dengan konflik politik.
“Sebaik tiba di Tarim saya teruja kerana dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat Arab yang sebelum ini hanya diketahui melalui pembacaan dan media.
“Walaupun pada awalnya agak sukar menyesuaikan diri dengan dialek bahasa Arab tempatan, saya berusaha meningkatkan penguasaan bahasa dengan berinteraksi setiap hari dengan penduduk setempat,” katanya.
Katanya, pengalaman tinggal bersama pelajar dari pelbagai negara termasuk Malaysia dan Indonesia turut memberi peluang kepadanya mengenali budaya berbeza dalam suasana pembelajaran.
Menurut Nauval, selepas tamat pengajian sekitar 2030, dia bercita-cita menjadi guru bahasa Arab selain menyampaikan dakwah kepada generasi muda melalui pendekatan yang lebih dekat dengan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




