PERLAWANAN persahabatan antarabangsa yang mempertemukan England dan Uruguay berakhir dengan keputusan seri 1-1 namun aksi tersebut dicemari dengan kontroversi mutu pengadilan yang dianggap mengelirukan dan tidak konsisten.
Tumpuan utama terarah kepada pemain tengah Uruguay, Manuel Ugarte, yang dilayangkan dua kad kuning namun peliknya tidak diperintahkan keluar padang oleh pengadil dari Jerman, Sven Jablonski.
Ugarte pertama kali dilayangkan kad kuning pada minit ke-71 selepas mengasari Cole Palmer, sebelum sekali lagi menerima amaran 10 minit kemudian kerana membantah gol pembukaan yang dijaringkan oleh Ben White.
Walaupun mengikut peraturan Ugarte sepatutnya menerima kad merah, Jablonski sekadar menyimpan kad tersebut di dalam poketnya, sekali gus mencetuskan kebingungan di kem England.
Pertahanan England, Harry Maguire, turut mendedahkan kekeliruan yang berlaku di atas padang mengenai insiden tersebut.
“Kami diberitahu Ugarte dilayangkan dua kad kuning tetapi kad kedua ditarik balik, yang mana ia sesuatu yang baharu buat kami. Kemudian, kami diberitahu pula kad kuning pertama sebenarnya untuk Jose Maria Gimenez. Jadi, daripada dua kad kuning, Ugarte akhirnya tidak menerima sebarang kad,” jelas Maguire.
Dalam perlawanan tersebut, Ben White muncul watak tumpuan apabila menjaringkan gol pembukaan, namun beliau tetap menerima ejekan ‘boo’ daripada penyokong England sendiri sebelum menyebabkan penalti buat pihak lawan di minit akhir perlawanan.
Pengurus England, Thomas Tuchel, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi pengadil, terutama kegagalan VAR untuk campur tangan dalam insiden kekasaran keras Ronald Araujo terhadap Phil Foden.
“Saya rasa ini bukan satu persembahan yang baik daripada pengadil. Wujud perdebatan mengenai pemain yang mendapat dua kad kuning tetapi tidak dibuang padang. Ia hari yang malang buat mereka.
“Mengenai penalti itu, ia sangat mudah (soft penalty). Memang ada sentuhan tetapi jelas apa yang penyerang itu cuba lakukan. Saya terkejut VAR berfungsi untuk insiden itu sedangkan terjahan ke atas Foden dan Noni (Madueke) tidak pula diperiksa,” tegas Tuchel.
Bagaimanapun, Tuchel tetap memuji persembahan barisan pemain simpanannya yang menunjukkan sikap positif dan kualiti taktikal yang tinggi menentang lawan yang sukar.
“Saya suka sikap dan persembahan pemain. Ia perlawanan yang sangat taktikal. Walaupun kami terlepas kemenangan di saat akhir, saya belajar banyak perkara. Menentang pemain seperti Ugarte dan Valverde menunjukkan tahap sebenar yang perlu kami hadapi,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Perlawanan England dan Uruguay berakhir seri 1-1 dengan kontroversi mutu pengadilan.
- Manuel Ugarte dari Uruguay tidak diarah keluar walaupun menerima dua kad kuning.
- Harry Maguire menjelaskan kekeliruan kad kuning yang menimpa Ugarte dan Gimenez.
- Pengadil dikecam kerana prestasi lemah dan keputusan VAR yang dipersoalkan.
- Thomas Tuchel puji persembahan pemain simpanan walaupun kecewa dengan keputusan.



