Lebih 100 jemaah tunai solat sunat Istisqa' di Masjid Jamek Razaleigh

Lebih 100 jemaah tunai solat sunat Istisqa' di Masjid Jamek Razaleigh

am@hmetro.com.my

Gua Musang : Lebih 100 jemaah hadir menunaikan solat sunat Istisqa’ di Masjid Jamek Razaleigh, di sini, hari ini.

Ia sebagai usaha memohon rahmat hujan daripada Allah susulan keadaan cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan.

Imam Muda Masjid Jamek Razaleigh, Muhamad Khirul Safarudin Zulkifli berkata, usaha itu dilakukan sebagai ikhtiar untuk memohon hujan akibat cuaca panas yang berterusan.

Katanya, ia juga susulan arahan pelaksanaan solat sunat itu membabitkan semua masjid negeri, bandar dan jajahan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Solat sunat Istisqa’ pada pagi ini, dilakukan di halaman dataran masjid berhampiran replika Kaabah yang menjadi mercu tanda ikonik masjid ini.

“Alhamdulillah, kita dapat menunaikan solat sunat Istisqa’ bagi menyahut seruan pihak negeri. Walaupun keadaan pagi agak redup sedikit berbanding kawasan lain kerana faktor berbukit dan banyak pokok, namun cuaca panas terik tetap dirasai terutama pada waktu tengah hari.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhemah dalam penggunaan air sepanjang musim kemarau selain mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko strok haba,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Istisqa.’

Beliau berkata, bekalan air di masjid berkenaan ketika ini masih terkawal kerana menggunakan sumber air telaga tiub (‘boaring’) selain daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai sumber sokongan.

Katanya, sekiranya bekalan air boaring berkurangan pihaknya akan menggunakan bekalan air daripada AKSB sebagai langkah alternatif untuk kemudahan jemaah masjid beribadat.

Sementara itu, seorang jemaah, Shakiah Sahludin, 51, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak masjid atas penganjuran solat sunat Istisqa.’

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak masjid kerana mengadakan solat ini untuk kita bersama-sama memohon hujan. Semoga segala usaha kita hari ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah.

“Alhamdulillah, kehadiran jemaah juga sangat menggalakkan dan saya berharap Allah memberkati serta melindungi seluruh penduduk di negeri Kelantan,” katanya.

Terdahulu, Masjid di seluruh Kelantan diseru melaksanakan solat sunat Istisqa’ sebagai ikhtiar memohon hujan dan rahmat daripada Allah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top