sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui barisan pemain muda yang diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan memerlukan masa dan pendedahan secukupnya sebelum diturunkan dalam kejohanan utama.
Bagi Ahmad Jais, beliau tidak mahu terburu-buru menurunkan mereka, sebaliknya akan memberikan peluang beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang dilihat mampu menjadi pentas buat pemain muda membina keyakinan diri.
“Mungkin untuk jangka masa pendek, mereka belum bersedia sepenuhnya. Cuma kita akan berikan pendedahan di kejohanan-kejohanan antarabangsa supaya mereka dapat mengutip pengalaman dan bermain dengan pasukan luar.
“Ini memberikan mereka kebiasaan dan pengalaman yang sangat berguna sebelum kita bawakan mereka untuk menyertai kejohanan utama yang kita sasar pada tahun ini atau tahun-tahun mendatang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan enam pemain baharu yang dibawa masuk itu mempunyai peranan masing-masing dan potensi besar untuk mewakili negara pada masa akan datang.
Justeru, perancangan teliti perlu dilakukan sebaiknya agar proses kesinambungan itu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan prestasi pasukan negara.
“Kita akan bagi peluang kepada semua pemain baharu yang kita bawa bagi tahun ini supaya mereka dapat menggalas cabaran menyertai kejohanan-kejohanan yang kita rasakan sesuai dengan peranan masing-masing,” katanya.
Untuk makluman, skuad sepak takraw negara bakal berdepan beberapa pertandingan penting seperti Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw, Sukan Asia 2026 dan Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




