am@hmetro.com.my
Rembau: Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina bagi menolak sebarang tuntutan susulan tindakan pemimpin negara itu yang berhasrat untuk menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah seperti mana dibangkitkan Senator Filipina, Robin Padilla.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra akan menghantar nota diplomatik berkenaan dalam masa terdekat ini.
“Kita akan menghantar nota diplomatik untuk menyatakan bantahan dan penolakan terhadap kenyataan itu? Apa yang mereka nyatakan itu adalah tidak berasas kerana Sabah adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Sabah sendiri melalui Suruhanjaya Cobbold memilih untuk menyertai Persekutuan Malaysia dan kemudian ia diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jadi, tidak timbul soal bahawa Sabah masih lagi menjadi tuntutan mereka (Filipina),” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.
Padilla dalam kenyataan di Facebook pada Rabu lalu dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.
Padilla menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, isu tuntutan berkenaan bukan perkara baharu namun sengaja ditimbulkan semula oleh pemimpin negara terbabit dipercayai bertujuan mengalih perhatian berkaitan masalah dalaman yang dihadapi negara itu.
“Saya rasa rakyat Filipina sendiri pun dah faham, cuma ahli-ahli politik mereka saja yang kadang-kadang nak mencari isu-isu yang boleh mengalihkan pandangan ataupun perhatian rakyat daripada masalah sebenar.
“Kalau mereka nak cakap terpulanglah kerana ada orang yang nak jadikan perkara itu sebagai kempen politik, untuk menjuarai kadang-kadang ada isu yang dia nak bawa untuk menjuarai sesuatu bagi menutup kelemahan masing-masing,” katanya.
Ditanya sama ada kenyataan berulang kali oleh pemimpin Filipina berkenaan boleh mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara, Mohamad berkata, perkara itu tidak menjejaskan hubungan dua hala.
Ini kerana jelas beliau, kenyataan terbabit dibuat oleh pemimpin tertentu dan bukannya pendirian rasmi kerajaan Filipina.
“Saya yakin selepas banyak tuntutan dibuat, ia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambahan pula Filipina adalah Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




