Penduduk empat kampung tunai solat sunat Istisqa' mohon hujan

Penduduk empat kampung tunai solat sunat Istisqa' mohon hujan

am@hmetro.com.my

Bachok: Penduduk daripada empat kampung menunaikan solat sunat Istisqa’ meminta hujan susulan kebakaran berterusan di tanah gambut sejak sebulan lalu.

Kebakaran api dan asap kini memasuki fasa kedua selepas bermula kebakaran pada 19 Februari lalu pada awal musim kemarau.

Solat sunat berkenaan diimamkan Ustaz Mohd Zaidi Zainuddin, Imam masjid iktikaf Sunanol Huda, Kampung Titian Sebatang Kuin, Gunong yang disertai lebih 30 penduduk mewakili kampung Gelung Badak, Sri Kemunting (Beoh),Kuau Besar dan Sri Gondang yang dilaksanakan jam 10.00 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Pekebun Kecil Sawit dan Getah Tanah Gambut Kampung Kuau, Wan Aziz Wan Nawan berkata, kebakaran membabitkan lokasi tanah gambut yang menjejaskan 121 hektar kawasan tanaman sawit dan getah membabitkan tiga blok iaitu blok A (Kampung Kuau ke Telaga Ara), blok B (Kampung Kuau) dan Blok C (Kampung Lubuk Tembusu).

Katanya, selain kawasan tanaman terbakar dan berasap, kebakaran itu turut menjejaskan kehidupan seharian dan memberi kesan kesihatan lebih 500 penduduk kampung membabitkan 10 kampung seperti Kuau Besar, Gelung Badak, Gong Wayang, Sri Kemunting (Beoh), Sri Gondang, Telaga Ara, Gong Kuini, Hujung Lidah, Haji Saman dan Beris Lalang.

“Hari ini kami laksanakan solat sunat minta hujan kerana kebakaran masih berlaku, ada penduduk kampung mengalami asma (lelah).

“Kami harapkan hujan turun untuk membantu memulihkan tanah gambut yang mengambil masa lama untuk padam,” katanya ketika ditemui di majlis solat sunat itu di lokasi tanah gambut di Kampung Kuau Besar, di sini, hari ini.

Samihah Ismail, 52 berkata, dia dan keluarga mengambil masa dua hari untuk memadam kebakaran di ladang kelapa sawit miliknya yang terkena api susulan kebakaran tanah gambut.

Katanya, mereka mengambil inisiatif sendiri kerana api merebak ke tanamannya lebih satu hektar dengan menyembur api menggunakan pam racun.

Penduduk kampung, Zuhaidi Omar, 55 pula mendakwa asap yang berterusan menyebabkan ada ahli keluarganya mengalami sesak nafas selain gatal kulit.

Katanya, lebih menyedihkan situasi itu berlaku ketika musim perayaan di mana ramai ahli keluarga daripada luar Kelantan pulang beraya.

Pengerusi Pertubuhan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kuau, Asri Mat Deris berkata, daripada jumlah 12 hektar tanah gambut terbakar, kini masih tersisa lima hektar lokasi tanah gambut masih terbakar.

Katanya, namun semua lokasi masih lagi berasap dan dalam tindakan berjaga-jaga kerana bimbang cuaca panas boleh mencetuskan semula api ke lokasi yang sudah dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“PBS masih berada di lokasi kebakaran 24 jam, dan kami harapkan bantuan enjin pam air yang berkuasa tinggi dan berkapasiti lebih besar untuk membantu memadam kebakaran lebih mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top