am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Dakwaan Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kerana terus melaksanakan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak tepat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan tidak pernah memutuskan penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di tiga wilayah berkenaan, sebaliknya ia akan dilakukan secara berperingkat.
“Dasar kerajaan sejak awal adalah melaksanakan reformasi subsidi melalui pendekatan penyasaran supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat kepada golongan dan sektor yang layak.
“Penyasaran subsidi ini pembaharuan besar yang memerlukan perancangan teliti serta pelaksanaan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pada 2024, kerajaan memulakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, manakala pada 2025 penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang meneliti kerangka penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan sebelum dibincangkan bersama kerajaan negeri masing-masing.
“Pada asasnya, subsidi diesel akan terus dilaksanakan tetapi dengan kaedah bersasar bagi menangani ketirisan termasuk penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan terbabit akan mengambil contoh beberapa model sedia ada seperti BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Katanya, mekanisme terbaik akan dirangka dengan mengambil kira faktor tempatan serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Di samping itu, Armizan turut menjelaskan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia masih diteruskan melalui skim bersasar seperti SKDS dan BUDI MADANI, khususnya bagi sektor pengangkutan darat serta golongan tertentu.
“Pelaksanaan penyasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan ditangguhkan ke fasa seterusnya bagi menyesuaikan dengan faktor tempatan seperti kebergantungan tinggi terhadap diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan asas yang lebih besar,” katanya.
Menurutnya, kos logistik yang tinggi akibat penghantaran barangan melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga menjadi antara faktor utama subsidi diesel dikekalkan di wilayah berkenaan ketika ini.
“Sebagai contoh, kos pengangkutan ke Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding kebanyakan kawasan perdagangan utama di rantau ini seperti China dan India, sekali gus menyumbang kepada perbezaan harga barangan di pasaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




