Rasionalisasi subsidi bantu Malaysia bertahan hadapi impak krisis global

Rasionalisasi subsidi bantu Malaysia bertahan hadapi impak krisis global

am@hmetro.com.my

Ipoh: Peningkatan harga minyak global susulan ketegangan di Asia Barat tidak semestinya menjamin pulangan tinggi atau kenaikan dividen daripada PETRONAS kepada kerajaan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, biarpun Malaysia negara pengeluar minyak namun negara turut mengimport minyak bagi menampung keperluan dalam negara, dengan 50 peratus daripadanya melalui laluan Selat Hormuz di Iran.

Katanya, anggapan bahawa keseluruhan keuntungan daripada PETRONAS boleh digunakan untuk menampung harga minyak dalam negara juga tersasar memandangkan pulangan adalah mengikut dividen dalam jumlah tertentu.

“Jadi sepatutnya dalam keadaan ini kita faham yang ini bukan masalah kenaikan harga minyak semata-mata. Sebab itu di peringkat global ianya disebut sebagai krisis tenaga, bukan krisis minyak semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Program Satelit: Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) 2.0 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini, hari ini.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, harus disyukuri apabila Malaysia masih mampu mengekalkan minyak pada harga lama selain mengawal bekalan ketika beberapa negara lain sudah merasai impak krisis terbabit apabila mengisytiharkan darurat seperti di Filipina.

Katanya, selain mengawal harga minyak, kerajaan turut berusaha mengawal agar kesan berantai tidak menyebabkan lonjakan ketara harga barangan keperluan melalui pelbagai skim subsidi tersendiri.

“Orang yang bawa lori ayam, ikan, sayur dan sebagainya ada skim subsidi tersendiri iaitu SKPS (Skim Kawalan Petrol Bersubsidi) dan SKDS (Skim Kawalan Diesel Bersubsidi) supaya harga barang makanan itu terkawal.

“Ada orang kata kenapa tak gunakan penjimatan yang kita buat melalui rasionalisasi subsidi sebelum ini untuk turunkan harga minyak. Iyalah, daripada penjimatan dan penstrukturan itulah yang membolehkan kita masih mampu bertahan.

“Dahulu bila kerajaan kata nak buat rasionalisisi dan penstrukturan semula subsidi kamulah yang paling kuat menentang tetapi hari ini Alhamdulillah setidak-tidaknya dia itu menerima kenyataan dan fakta bahawa penstrukturan semula subsidi itu perlu khususnya apabila kerajaan kini perlu menampung RM4 bilion berbanding RM700 juta sebelum ini,” katanya.

Katanya, bagi menampung keperluan subsidi itu kerajaan mengamalkan pendekatan ekonomi yang baik dengan tidak mengambil peruntukan yang seharusnya disalurkan bagi sistem kesihatan, pendidikan, dan program mengurangkan beban kos sara hidup seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Dalam keadaan ini kita tak boleh prejudiskan sistem pendidikan dan kesihatan kita mahupun rancangan atau program lain. Apa yang boleh kita lakukan adalah penjimatan dan pengurusan yang cekap, amanah, tiada rasuah serta ketirisan serta penguatkuasaan yang baik,” katanya.

Muhammad Kamil justeru menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pimpinan politik tertentu yang menggunakan ruang krisis global itu secara tidak bertanggungjawab dengan menyerang kerajaan secara membuta tuli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top