hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sektor pertanian Malaysia berdepan dua cabaran utama iaitu tenaga kerja yang semakin mengecil dan generasi petani yang semakin menua.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pada 2025 hanya sekitar 1.88 juta pekerja, atau kira-kira satu daripada setiap 10 tenaga kerja negara, berada dalam sektor ini.
Penyertaan golongan muda pula masih rendah apabila hanya sekitar 15 peratus tenaga kerja pertanian berusia bawah 40 tahun, manakala purata usia pesawah mencecah sekitar 60 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan sektor yang menjadi asas keterjaminan makanan negara.
Namun di sebalik cabaran itu, terdapat usahawan muda mula membuktikan bahawa sektor keterjaminan makanan mampu menjadi bidang keusahawanan yang menguntungkan.
Muhammad Hariz Nordin
Graduan kejuruteraan di United Kingdom ini memilih meninggalkan kerjaya profesional untuk menceburi bidang penternakan pada 2011 ketika dia berusia 25 tahun.
Langkah berani itu bukan saja mengubah laluan kerjayanya, malah membuka peluang kepada pembangunan perniagaan tenusu kambing tempatan yang kini menyumbang kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Muhammad Hariz Nordin, 40, berkata, dia dinobatkan sebagai ikon Penternak Jaya Kebangsaan 2016 dan meraih pendapatan lumayan selepas kira-kira enam tahun berada dalam industri keselamatan makanan hasil usaha membangunkan perniagaan susu kambing yang bermula dari sebuah ladang kecil.
“Kita berada dalam industri makanan. Orang akan makan setiap hari, jadi permintaan sentiasa ada.
“Jika diurus dengan ilmu dan strategi pemasaran yang betul, bidang ini bukan saja boleh menjana pendapatan, malah membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Hariz yang juga graduan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Sunderland, United Kingdom, pada awalnya bekerja sebagai pengurus operasi di sebuah kilang sebelum mengambil keputusan beralih arah ke bidang penternakan.
Menurutnya, minat terhadap haiwan sudah wujud sejak kecil dan peluang sebenar datang pada 2011 apabila dia diberi kepercayaan menguruskan sebuah ladang kambing terbiar di Setiu, Terengganu.
“Ketika itu, ladang berkenaan menempatkan 247 ekor kambing rampasan yang diserahkan kepadanya untuk dipulihkan dalam tempoh enam bulan.
“Kambing itu bukan milik kami pada awalnya. Ia kambing rampasan yang diberi kepada kami untuk dipulihkan dan diuruskan,” katanya.
Katanya, meskipun berdepan kekangan seperti ketiadaan bekalan elektrik dan kemudahan asas di ladang, dia tetap meneruskan operasi penternakan dengan modal awal sekitar RM100,000 bagi membersihkan kawasan, membeli generator serta menampung kos pekerja.
“Pada peringkat awal, saya menternak kambing pedaging selama beberapa tahun, namun cabaran kos makanan ternakan yang tinggi serta persaingan kambing import menyebabkan perniagaan itu hampir ditutup pada 2015.
“Situasi itu berubah selepas seorang doktor veterinar mencadangkan saya mencuba penternakan kambing tenusu menggunakan ternakan sedia ada,” katanya.
Katanya, dia cuba perah susu kambing yang ada. Daripada kira-kira 400 ekor kambing dapat hasil sekitar RM12,000 hingga RM15,000 sebulan.
“Waktu itu saya terfikir kenapa tidak buat perkara ini lebih awal. Melihat potensi ini, saya kemudian menukar fokus kepada penternakan kambing tenusu secara berperingkat sebelum melabur dalam mesin pemprosesan susu kambing UHT pada 2019 bagi membolehkan produk dipasarkan secara lebih meluas.
“Kini produk saya dipasarkan melalui lebih 1,300 ejen di seluruh negara dan boleh didapati di hampir 400 pasar raya, selain memasuki pasaran Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei melalui rangkaian ejen,” katanya.
Katanya, pembabitan lebih ramai anak muda dalam sektor pertanian dan penternakan penting bagi membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
“Jika anak muda berani mencuba dan sanggup turun padang, industri pertanian dan penternakan sebenarnya mempunyai potensi yang jauh lebih besar daripada yang disangka,” katanya.
Nur Taufiq Yusuf
Bermula dengan hanya enam pokok anggur yang ditanam sebagai hobi ketika pandemik Covid-19, seorang bekas pereka grafik kini berjaya membina kebun tanaman bernilai komersial yang semakin berkembang.
Nur Taufiq Yusuf, 36, mula menceburi bidang pertanian secara serius pada usia sekitar 30 tahun selepas hampir sedekad bekerja dalam bidang reka grafik dan fotografi.
Menurutnya, dia menamatkan pengajian dalam bidang reka grafik pada 2010 sebelum membuka studio fotografi sendiri dan bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat kontraktor.
Namun, perubahan landskap pekerjaan ketika pandemik pada 2020 menyebabkan dia mula melihat potensi pertanian sebagai sumber pendapatan baharu.
“Waktu itu kerja agak terjejas sebab projek kontraktor banyak dihentikan. Saya ada sedikit tanah, jadi saya cuba tanam anggur sekadar hobi saja.
“Pada peringkat awal saya hanya menanam enam pokok anggur di kebun kecil berhampiran rumah. Selepas kira-kira enam bulan, tanaman itu mula berbuah dan menarik perhatian ramai pengunjung yang datang melihat sendiri tanaman yang saya usahakan,” katanya.
Melihat sambutan itu, dia mula menambah jumlah tanaman dan menjadikan kebun berkenaan sebagai projek pertanian secara lebih serius bermula 2021.
Katanya, pada peringkat awal dia tidak memberikan fokus kepada jualan buah sebaliknya menjana pendapatan melalui penjualan anak benih anggur, kursus tanaman serta baja.
“Ramai orang sangka saya hanya jual buah anggur, tetapi sebenarnya saya jual sistem. Saya buat kursus, jual anak benih dan kongsi pengalaman berkaitan tanaman,” katanya.
Katanya, bidang pertanian sebenarnya mempunyai banyak cabang yang boleh dikembangkan untuk menjana pendapatan jika diuruskan secara kreatif.
“Daripada satu tanaman, kita boleh kembangkan kepada banyak cabang seperti jual anak benih, buat kursus, jual baja atau hasilkan produk makanan daripada hasil tanaman itu sendiri.
“Bagi memastikan pendapatan lebih stabil, saya kemudian menambah tanaman baharu iaitu buah tin dua tahun lalu yang membolehkan saya menjual buah segar selain menghasilkan produk lain seperti jus dan jem,” katanya.
Katanya, selepas memperkenalkan tanaman buah tin, pendapatan mula meningkat dengan lebih ketara sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.
“Sekarang pendapatan saya boleh mencecah puluhan ribu ringgit sebulan hasil jualan anak benih, buah tin, produk berasaskan tin serta kursus pertanian yang dijalankan di kebun.
“Kini kebun saya yang menempatkan tanaman anggur dan buah tin meliputi kira-kira 0.6 hektar, selain terbabit dalam projek kerjasama lain membabitkan kawasan sekitar 1.2 hektar dan projek baharu seluas kira-kira empat hektar yang sedang dibangunkan,” katanya.
Katanya, selain jualan hasil tanaman, dia turut memperkenalkan konsep agro pelancongan apabila pengunjung boleh datang ke kebun untuk melihat tanaman, memetik buah sendiri dan merasai pengalaman berkebun.
“Pembabitan lebih ramai anak muda dalam sektor pertanian bukan saja boleh menjana pendapatan, malah membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara pada masa depan.
“Jika kita buat bersungguh-sungguh dan kreatif, bidang pertanian ini sebenarnya boleh beri pendapatan yang lebih baik daripada makan gaji,” katanya.
Ahmad Mustapa
Memiliki ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ahmad Mustapa, 36, memilih jalan berbeza apabila tidak bekerja dalam bidang yang dipelajarinya sebaliknya pulang ke kampung di Besut, Terengganu untuk memulakan usaha penternakan lembu pada usia 26 tahun selepas menamatkan pengajian pada 2016.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi menjaga ibu bapanya yang kurang sihat ketika itu.
“Saya pulang ke kampung untuk jaga ibu bapa. Jadi, saya korbankan apa yang saya belajar dan bina masa depan baharu di kampung.
Ketika pulang ke kampung, keluarganya hanya mempunyai ladang kelapa sawit serta beberapa kebun kecil selain ternakan kambing milik bapanya,” katanya.
Ahmad kemudian mengambil inisiatif memulakan projek penternakan lembu secara kecil-kecilan di belakang rumah bagi mempelajari selok-belok perniagaan ternakan.
“Saya bermula dengan hanya 11 ekor lembu. Masa itu saya belajar bagaimana untuk menguruskan lembu, cari pasaran dan berniaga haiwan ternakan.
“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun pertama saya membina pengalaman sebelum operasi penternakan diperluaskan ke kawasan ladang kelapa sawit milik keluarga,” katanya.
Kini ladang berkenaan menempatkan kira-kira 200 ekor lembu termasuk ternakan baka Brahman Cross dan Kedah-Kelantan Cross selain lembu yang dipelihara untuk sistem feedlot.
Katanya, selain menternak, dia turut menjalankan aktiviti perdagangan lembu bagi memenuhi permintaan pasaran termasuk untuk tujuan ibadah korban dan daging segar.
“Pada awal perniagaan ini hanya memberikan pendapatan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
“Sekarang secara purata pendapatan boleh mencecah sekitar RM80,000 hingga RM90,000 sebulan hasil ternakan dan aktiviti perdagangan lembu,” katanya.
Katanya, operasi ladang kini dikendalikan dua pekerja tetap selain dibantu kira-kira 20 pekerja sambilan ketika musim penyembelihan atau jualan ternakan.
“Bidang penternakan bukan sekadar perniagaan, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan khususnya daging sentiasa mencukupi.
“Pada saya, bidang ini adalah satu keperluan untuk masyarakat dan ummah kerana selain kita membantu memudahkan orang mendapatkan bekalan daging segar, kita juga membantu mereka dalam mendapatkan ternakan korban yang berkualiti dan terbaik” katanya.
Katanya, dalam bidang agromakanan, minat adalah perkara paling penting. Modal atau tempat bukan faktor utama kerana jika ada minat yang mendalam, pengusaha akan cari ilmu dan cara untuk berjaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



