Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah kembali hangat diperkatakan, namun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kedudukan negeri itu sebagai sebahagian daripada Malaysia tidak boleh dipertikaikan.
Bukan isu baru
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan perkara itu bukan sesuatu yang baharu dan sering dibangkitkan terutama ketika musim pilihan raya di Filipina.
“Selalunya di sana, apabila hampir pilihan raya senat mereka, timbul isu seumpama ini. Namun jelas sejak awal, rakyat Sabah sudah membuat keputusan untuk bersama Malaysia. Perkara ini tidak boleh dipersoalkan lagi.
“Kita adalah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Apa lagi yang mahu dipersoalkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis di Sabah International Convention Centre pada Sabtu.

Sesuatu yang perlu diperbetulkan
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Senator Filipina, Robin Padilla untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah yang turut dikaitkan dengan sumber minyak negeri itu.
“Ini sesuatu yang perlu diperbetulkan. Tidak boleh diuar-uarkan atau dijadikan isu, terutama oleh pihak di sana,” katanya.

Hajiji menegaskan keputusan rakyat Sabah untuk bersama Malaysia telah dimuktamadkan sejak pembentukan negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar semua pihak menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia serta tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)




