Aisha Retno sahut cabaran selepas MV Jodoh Lebaran capai 10 juta tontonan

Aisha Retno sahut cabaran selepas MV Jodoh Lebaran capai 10 juta tontonan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga komposer lagu Jodoh Lebaran, Aisha Retno meluahkan rasa teruja selepas video muzik lagu Aidilfitri itu mencecah lebih 10 juta tontonan di YouTube.

Menerusi hantaran di Threads, Aisha memaklumkan dia membaca setiap cabaran netizen sekiranya video muzik (MV) lagu itu mencecah angka 10 juta.

“Jodoh Lebaran secara rasminya sudah mencecah 10 juta tontonan dalam masa tiga minggu. Masya-Allah.

“Saya baca cadangan-cadangan kalian, nak buat apa selepas dapat 10 juta tontonan. Ada yang serius dan ada yang ‘ngek ngek’, dua-dua saya hadam dan peka. Nantikan okay!

“Tapi, video ‘shoutout’ sempena 10 juta tontonan, nak kena buat apa ya?” tulisnya.

Terdahulu, di platform sama, Aisha turut bertanya dan meminta cadangan daripada netizen mengenai apa yang perlu Aisha lakukan sekiranya sasaran itu tercapai.

“Kalau malam ini (semalam) video muzik Jodoh Lebaran mencapai 10 juta tontonan, kalian nak saya buat apa? Kalau ‘backflip’ dah biasa sangat,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top