Penggodam Iran ceroboh e-mel Pengarah FBI, dedah foto dan dokumen

Penggodam Iran ceroboh e-mel Pengarah FBI, dedah foto dan dokumen

PENGGODAM yang dikaitkan dengan Iran dilaporkan telah menceroboh peti masuk e‑mel peribadi Pengarah FBI, Kash Patel, sebelum menyebarkan ratusan foto serta dokumen di internet.

Kumpulan yang menamakan diri mereka Handala Hack Team mengumumkan kejayaan pencerobohan itu di laman web mereka, lapor Reuters.

Kumpulan berkenaan memuat naik beberapa gambar peribadi Patel, termasuk ketika beliau menghisap dan menghidu cerut, menaiki kereta antik serta berswafoto sambil memegang botol rum bersaiz besar.

Mereka turut menyatakan bahawa Patel kini tersenarai sebagai “mangsa yang berjaya digodam”.

FBI mengesahkan e‑mel Patel menjadi sasaran serangan siber berkenaan.

Jurucakapnya, Ben Williamson, berkata langkah mitigasi telah diambil dan menegaskan maklumat yang terdedah adalah data lama yang “tidak melibatkan sebarang maklumat kerajaan”.

Google selaku pengendali Gmail belum memberikan sebarang respons.

Kumpulan Handala, yang menggelarkan diri sebagai penggodam pro-Palestin, dipercayai penyelidik Barat sebagai salah satu identiti yang digunakan unit risikan siber kerajaan Iran.

Pada 11 Mac lalu, kumpulan sama mendakwa telah menggodam syarikat peralatan perubatan Stryker dan memadam sejumlah besar pangkalan datanya.

Selain gambar Patel, lebih 300 e‑mel turut diterbitkan, melibatkan kandungan peribadi dan kerja antara 2010 hingga 2019.

Walaupun Reuters tidak dapat mengesahkan ketulenannya, alamat Gmail yang digodam itu sepadan dengan rekod pendedahan data lampau yang disimpan firma risikan gelap District 4 Labs.

Serangan ini berlaku ketika kumpulan penggodam dikaitkan Iran semakin berani menunjukkan operasi mereka sejak AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran bulan lalu.

Handala turut mendakwa telah menerbitkan data peribadi puluhan pekerja syarikat pertahanan Lockheed Martin yang ditempatkan di Asia Barat.

Ketua kakitangan syarikat keselamatan siber Israel, Check Point, Gil Messing, berkata tindakan terhadap Patel adalah sebahagian strategi Iran untuk memalukan pegawai AS serta “menjadikan mereka berasa terdedah”.

Beliau menyifatkan Iran kini “menggunakan apa sahaja yang mereka ada”.

Pencerobohan peti e‑mel peribadi pegawai kanan bukan perkara baharu. Antara insiden terkenal ialah penggodaman akaun John Podesta pada 2016 serta pencerobohan akaun AOL milik bekas Pengarah CIA, John Brennan, pada 2015.

Penilaian risikan AS sebelum ini turut menyatakan Iran berkemungkinan melakukan serangan siber berskala rendah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei. – Awani

Scroll to Top