Kerjaya Zoey 'meriah' sejak awal

Kerjaya Zoey 'meriah' sejak awal

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SIRI 1

Meskipun kini menempa nama sebagai usahawan, pengacara dan pelakon Zoey Rahman, 41, masih aktif dalam karier seni yang diceburinya selama dua dekad.

Cukup dikenali dengan program Gerak Geri Gasing yang membuka langkahnya sebagai pengacara pada 2006, ketika itu Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abd Rahman baru berusia 21 tahun.

Mengimbau kenangan lalu, Zoey berkata, pembabitan awalnya dalam industri seni adalah sebagai pelakon drama pada 2005 dan setahun selepas itu mengembangkan bakat dalam pengacaraan pula.

“Drama pertama yang saya berlakon dulu ialah Impian Illyana di TV3 ketika berusia 20 tahun untuk watak pembantu. Masa itu pun (2005), sebenarnya saya tak terfikir nak jadi pelakon, tapi ia berlaku dengan tidak sengaja.

“Sebabnya, minat saya lebih ke arah bidang peragaan dan sebagai pengacara. Tetapi, saya ini seorang yang suka mencuba dan apabila ada peluang maka saya buatlah. Tak sangka, diterima pula berlakon.

“Alhamdulillah, ketika itu orang juga selalu cakap saya ini ‘muka jambu’. Jadi, mungkin dari situ ada rezeki saya untuk timba ilmu lakonan. Memang seronok bekerja di set penggambaran,” katanya.

Mengulas pengalaman berlakon pertama kali, Zoey berkata, dia berasa sangat teruja kerana drama itu turut dibintangi pelakon Lydia Ibtisam.

Katanya, sebelum itu dia hanya jadi penonton drama Impian Illyana di kaca televisyen saja.

“Bila tiba-tiba saya dipilih terbabit dan dapat berjumpa serta berlakon dengan Lydia ketika itu, siapa yang tidak teruja dan seronok. Walaupun ia pengalaman pertama saya berlakon, tetap rasa ‘best’.

“Drama Impian Illyana pula mengisahkan anak muda dan ‘urban’ seiring dengan usia saya waktu itu, memang kena jiwalah. Ditambah, barisan pelakon, kru produksi dan pengarah juga sangat profesional.

“Sehingga saya sendiri tidak berasa pun bahawa diri saya adalah orang baharu dalam industri dan pertama kali berlakon ketika itu. Terus terang ‘vibe’ bekerjanya sangat profesional,” katanya.

Berbicara rancangan Gerak Geri Gasing pula, Zoey memaklumkan cabaran hari pertamanya sebagai pengacara memang dia sangat gugup kerana perlu menghafal skrip walaupun rakaman.

“Disebabkan belum tahu cara kawal gugup, saya jadi huru-hara juga pada hari pertama shooting rancangan itu. Boleh dikatakan diri saya jadi serba tidak kena. Nak hafal dan ingat skrip memang tidak mudah.

“Tapi, apa-apa pun saya bersyukur sangat sebab Allah bantu dan permudahkan saya bekerja. Mujur juga dapat pengarah dan kru produksi yang semua baik dan memahami .

“Mereka banyak menolong dan sama sekali tidak jatuhkan semangat saya, itu yang penting. Mereka cakap kepada saya teruskan semangat dan tak apa, tenang sahaja. Maka, lama-kelamaan saya okey,” katanya.

Mengakui perjalanan kerjaya seninya dari awal sangat meriah, Zoey turut menyifatkan bertuah apabila berjaya dipilih sebagai Bakat Eksklusif oleh sebuah stesen televisyen selama lima tahun.

Katanya, sepanjang tempoh itu, jadual kerjanya sangat padat termasuk wajahnya sering disiarkan dalam pelbagai rancangan televisyen termasuk drama dan filem sekali gus dikenali ramai.

“Sejujurnya, saya bangga sebab ada rancangan televisyen yang saya mengacarakan sendiri untuk sepanjang musim. Ini kerana saya rasa tidak semua orang dapat peluang macam itu .

“Jadi, saya bangga mendapat kepercayaan mengacarakan Gerak Geri Gasing itu. Sehingga ke hari ini, saya tidak malu untuk mengatakan kebanggaan saya terhadap rancangan berkenaan walaupun bekerja dengan peserta kanak-kanak,” katanya.

Menyentuh soal bayaran pernah diterima apabila berlakon dan mengacara, Zoey yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, dia sudah tidak ingat, tetapi apa yang pasti dirinya membuat tabungan.

“Kalau mengenai bayaran yang pernah saya terima sewaktu mula berlakon dan mengacara dulu, memang sudah tak berapa ingat. Lama sangat dah.

“Tetapi, saya ini seorang yang suka menabung. Saya selalu fikir masa depan sebab saya berhasrat untuk terbabit dalam perniagaan. Jadi, saya tidak boleh boros ketika berbelanja dan perlu menyimpan.

“Malah, seingat saya hasil awal daripada pendapatan dalam karier seni ini membawa peluang untuk saya membeli rumah sebagai aset pertama. Ia daripada wang yang saya kumpul hasil titik peluh bekerja,” katanya.

Berkongsi pandangan dan keseronokan dirasainya sepanjang aktif menjadi anak seni, Zoey berkata, pada mulanya disebabkan minat dan mahu mengumpul harta dengan pendapatan yang bagus.

“Tetapi, lama-kelamaan daripada minat dan seronok itu bertukar menjadi terapi diri,” katanya.

ESOK: Muka ‘kontrak’ majalah hiburan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top