suliati@hmetro.com.my
Dunia di hujung jari. Itu realiti yang terpaksa ditelan ibu bapa zaman sekarang.
Jika dulu, ancaman hanya ada di depan mata atau di luar pagar rumah, kini ‘pemangsa’ dan pengaruh buruk boleh masuk terus ke dalam bilik tidur anak melalui skrin sekecil telapak tangan.
Lebih membimbangkan, ia berlaku tanpa disedari iaitu ketika anak terutama di bawah 16 tahun berada di sisi, tetapi perhatian mereka sepenuhnya di dunia lain.
Kakitangan swasta, Nas Norziela Nasbah, 38, akui penggunaan internet pada usia muda bukan lagi perkara asing.
Malah, anaknya sudah mula didedahkan dengan platform digital seawal usia tujuh tahun untuk tujuan tontonan YouTube.
“Sebagai ibu, saya akui ada debaran yang menghimpit setiap kali memikirkan keselamatan anak-anak di dunia digital yang tiada sempadan ini.
“Namun, dalam masa sama saya melihat dari beberapa sudut berbeza yang mana ada negatif dan positifnya.
“Kalau dulu, kita akan menonton video tular dan perlu sampaikan maklumat kepada mereka. Tetapi sekarang, mereka lebih cepat dan tahu sebelum kita tonton video tular itu.
“Mereka juga sudah tahu kesan negatif dan positif setiap video tular sekali gus dapat mengelak untuk tidak lakukan perkara itu,” katanya.
Menurut Nas Norziela, anak sulungnya yang kini berusia 12 tahun sudah mempunyai akaun TikTok dan Instagram sejak umur 10 tahun.
Meskipun secara dasarnya platform media sosial menetapkan had umur minimum tertentu, katanya penggunaan akaun tersebut masih terkawal dan tidak aktif, selain sentiasa dipantau.
Walaupun belum pernah berdepan situasi serius, Nas mengakui tetap berasa bimbang, terutama apabila anaknya pernah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang disyaki scammer.
“Walaupun anak tidak menjawab kerana sudah diingatkan, saya tetap risau kalau suatu hari terlepas pandang.
“Untuk akaun TikToknya, saya sentiasa pantau melalui peti masuk. Setakat ini tiada mesej mencurigakan daripada orang tidak dikenali, tetapi sebagai ibu, kebimbangan itu tetap ada,” katanya.
Walaupun membenarkan anak menggunakan platform media sosial pada usia muda, namun Nas Norziela mengamalkan pendekatan ‘pemeriksaan mengejut’ atau spotcheck telefon anak-anak setiap kali mereka tidur.
Ia memastikan tiada mesej mencurigakan daripada individu tidak dikenali.
“Saya akan periksa setiap mesej di WhatsApp dan media sosial, malah sticker yang dihantar juga saya pantau. Jika tidak sesuai, saya akan tegur anak dan pengirimnya terus.
“Bagi saya, komunikasi dua hala sangat penting. Kita perlu bercakap secara lembut tetapi tegas agar mereka faham risiko mendedahkan privasi seperti alamat atau gambar peribadi tanpa kebenaran,” katanya yang mengakui cabaran terbesar adalah mencari keseimbangan antara melindungi anak dan memberi ruang untuk mereka berkembang.
Isu keselamatan digital bukan lagi isu kawalan semata-mata, sebaliknya memerlukan ekosistem kukuh membabitkan ibu bapa, sekolah, platform media sosial dan juga pihak kerajaan.
Hanya dengan kerjasama ini, barulah persekitaran digital yang lebih selamat dapat diwujudkan untuk generasi akan datang.
Sementara itu, guru, Noor Syazana Taib yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai pendidik, kesan terhadap penggunaan internet atau media sosial dalam kalangan murid ialah mereka terlalu leka dengan media sosial serta terpengaruh dengan mengikuti trend sedia ada.
Hal itu menyebabkan murid leka dengan gajet dan memberi kesan terhadap adab dalam hubungan komunikasi kerana terlalu berfokus pada telefon gajet.
“Di sekolah, kami sentiasa menasihati murid-murid supaya berhati-hati semasa membuka kandungan dalam internet.
“Kandungan dalam internet mestilah berwibawa dan diakui sah melalui platform yang diiktiraf.
“Kami juga menekankan aspek privasi yang membabitkan nombor kad pengenalan, nombor telefon dan gambar peribadi supaya tidak didedahkan kepada umum,” katanya.
Selain itu, murid juga didedahkan dengan cara mengenal pasti risiko seperti penipuan dalam talian serta digalakkan melaporkan kepada guru atau ibu bapa sekiranya berdepan situasi mencurigakan.
Namun, menurut Noor Syazana cabaran sebenar adalah di luar waktu sekolah kerana telefon ada di tangan mereka.
“Oleh itu, kami cuba salurkan tugasan secara dalam talian seperti kuiz atau kajian kes supaya tumpuan mereka lebih kepada mencari bahan berkaitan dan bermaklumat,” katanya yang bertugas di SK Kampong Gelam, Port Dickson.
Dalam aspek keselamatan, media sosial dan aplikasi digital turut memikul tanggungjawab besar dalam memastikan pengguna, khususnya kanak-kanak, berada dalam persekitaran selamat.
Ini termasuk penyediaan ciri keselamatan, penapisan kandungan serta saluran aduan yang mudah diakses.
Menurut Noor Syazana, kerjasama semua pihak boleh diperkukuhkan melalui penghasilan video pendek atau pertandingan kesedaran keselamatan digital dengan pembabitan aktif murid dan ibu bapa.
“Kerajaan sudah ada Dasar Pendidikan Digital yang baik, cuma mungkin boleh ditambah lagi pengisian video berkaitan keselamatan siber.
“Contohnya, kesahan dalam kandungan, privasi peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon dan sebagainya supaya generasi akan datang tahu mengunakan internet dengan baik.
Tambahnya, adalah penting untuk kerajaan menyediakan rangka kawal selia dan memastikan pematuhan oleh platform digital, sementara ibu bapa pula membuat kawalan penggunaan di rumah.
“Apabila semua memainkan peranan, barulah keselamatan internet ini dapat diperkukuh, dan saya menyokong langkah kerajaan memperkenalkan had umur bawah 16 tahun bagi melindungi murid daripada risiko dalam talian,” ujarnya
Keselamatan dalam talian bukan lagi soal ‘siapa yang patut buat kerja’, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kolektif.
Ibu bapa sebagai barisan hadapan perlu dibekalkan dengan literasi digital yang mencukupi, sekolah menjadi pusat didikan nilai dan etika siber, manakala platform digital serta kerajaan memastikan persekitaran digital yang selamat untuk diterokai oleh generasi muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




