Dari dapur ke pentas fesyen

Dari dapur ke pentas fesyen

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian lama terpendam sejak kecil menjadi kenyataan buat suri rumah ini apabila beliau kini melangkah ke dunia fesyen selepas bertahun-tahun meninggalkan kerjaya profesional.

Pada usia 45 tahun, Noorulhudah Ali membuktikan minat dan usaha mampu membuka jalan apabila kini bergelar pereka fesyen selepas hampir 15 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa.

Anak kelahiran Melaka yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu berkata, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan awam selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Katanya, meskipun memilih aliran sains ketika di sekolah, minat terhadap seni sebenarnya sudah wujud sejak kecil lagi.

“Masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ambil aliran sains, tetapi saya tetap pilih subjek pendidikan seni sebagai mata pelajaran tambahan dan Alhamdulillah dapat A sebab memang dari awal saya suka melukis dan buat benda berkaitan seni.

“Minat terhadap fesyen sebenarnya bermula sejak zaman kanak-kanak, saya selalu reka sendiri pakaian untuk patung ‘Barbie’.

“Dulu patung Barbie mahal, jadi saya jahit sendiri bajunya kerana ketika itu tak ada mesin jahit,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau juga pernah membeli kain sendiri untuk menjahit baju sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa termasuk pernah mencuba menjahit langsir rumah milik ibunya.

Namun jelas Noorulhudah, selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam dan bekerja, minat terhadap seni itu seakan tenggelam apabila sibuk dengan kerjaya.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas berkahwin pada 2011 apabila suaminya memintanya memberi tumpuan kepada keluarga dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Bila anak dah besar dan bersekolah, barulah saya rasa ini masa untuk sambung belajar dalam bidang yang saya minat,” katanya.

Noorulhudah kemudian mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang fesyen walaupun mengakui bermula daripada ‘kosong’ tanpa sebarang asas jahitan.

Beliau terpaksa menghasilkan berpuluh-puluh sampel pakaian sebelum berjaya mendapatkan rekaan yang memuaskan dan kadang-kadang menghadapi kekecewaan apabila hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

Uniknya, inspirasi rekaan Noorulhudah banyak dipengaruhi seni bina bangunan bersejarah yang diterjemahkan ke dalam bentuk pakaian.

“Saya pernah mengambil inspirasi daripada seni bina beberapa bangunan bersejarah seperti Masjid Wazir Khan di Lahore, Pakistan, St Basil’s Cathedral di Moscow, Rusia dan bangunan Reichstag di Berlin, Jerman, untuk dijadikan asas dalam rekaan pakaian saya.

“Saya berharap suatu hari nanti dapat membuka butik sendiri, namun langkah itu perlu dilakukan dengan perancangan dan ilmu yang mencukupi.

“Saya percaya kalau ada minat dan kemahuan, walaupun kita bermula agak lewat, kita tetap boleh berjaya termasuk wanita yang bergelar suri rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top