JAKARTA: Indonesia mula melaksanakan peraturan baharu melarang kanak-kanak di bawah 16 tahun mengakses platform digital yang berisiko seperti pornografi, buli siber, penipuan dalam talian dan ketagihan, berkuat kuasa semalam.
Negara itu menjadi yang pertama di Asia Tenggara melarang kanak-kanak memiliki akaun di platform popular termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live dan Roblox.
Ia susulan langkah yang diambil Australia tahun lepas yang mengetatkan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak.
Pelaksanaan peraturan itu dijangka dilakukan secara berperingkat sehingga semua platform mematuhi garis panduan baharu tersebut.
Menurut Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid, langkah itu akan memberi kesan kepada kira-kira 70 juta kanak-kanak daripada populasi 280 juta penduduk di negara itu.
Meutya berkata, platform digital berisiko tinggi dikenal pasti berdasarkan faktor seperti kandungan berbahaya secara umum, potensi kanak-kanak terdedah kepada pemangsa serta tahap risiko eksploitasi dan penipuan keselamatan data.
Namun, beliau mengakui melaksanakan peraturan baharu itu, walaupun secara berperingkat seperti yang dirancang, akan menjadi sukar.
Katanya, memastikan platform digital mematuhi peraturan dan kemudian membuat laporan mengenai penyahaktifan akaun kanak-kanak bawa 16 tahun adalah cabaran besar.
“Ia sememangnya satu tugas. Tetapi kita mesti mengambil langkah untuk menyelamatkan anak-anak kita. Ia tidak mudah, namun kita mesti memastikan ia dilaksanakan,” katanya.
Setakat ini, hanya beberapa platform digital yang memberi reaksi terhadap peraturan baharu Indonesia.
Platform milik Elon Musk, X, dalam halaman Maklumat Keselamatan Dalam Talian Indonesia menetapkan 16 tahun sebagai umur minimum untuk pengguna di negara itu.
“Ia bukan pilihan kami, ini adalah kehendak undang-undang Indonesia,” menurut halaman tersebut.
YouTube milik Google berkata, ia menyokong usaha kerajaan Indonesia untuk mewujudkan rangka kerja berasaskan risiko yang berkesan bagi menangani bahaya dalam talian sambil mengekalkan akses kepada maklumat serta peluang digital.- AP



