Split, Croatia: Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Gerald R Ford yang sebelum ini terbabit dalam operasi Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran berlabuh di pelabuhan Split pada Sabtu untuk menjalani kerja pembaikan dan penyelenggaraan.
Kapal pengangkut terbaharu dan terbesar di dunia itu sebelum ini beroperasi di Laut Merah bagi menyokong Operasi Epic Fury apabila kebakaran bukan tempur meletus di bilik dobi utamanya pada 12 Mac lalu menyebabkan tiga kelasi cedera.
Pegawai AS memaklumkan, hampir 200 kelasi turut menerima rawatan akibat masalah berkaitan sedutan asap dalam kejadian itu.
Kebakaran itu mengambil masa beberapa jam untuk dikawal dan menjejaskan 100 ruang penginapan kru di kapal berkenaan.
Kapal perang itu sudah ditempatkan selama sembilan bulan dan sempat menyertai operasi terhadap Venezuela di Caribbean sebelum tiba di Asia Barat untuk misi ketenteraan.
Sepanjang penempatan itu, USS Gerald R Ford turut menghadapi masalah sistem perpaipan yang menjejaskan hampir 650 tandas di atas kapal.
Sebelum tiba di Croatia, kapal berkenaan singgah sementara di Teluk Souda di Pulau Crete, Greece sebelum kerajaan Croatia yang juga sekutu Pakatan Tentera Atlantik Utara (NATO) meluluskan ketibaannya awal minggu ini.
“Semasa kunjungan ini, USS Gerald R Ford akan menerima lawatan pegawai tempatan dan pemimpin utama bagi memperkukuhkan lagi pakatan kuat antara AS dan Croatia,” kata kedutaan AS di Croatia dalam satu kenyataan.
Kapal pengangkut itu yang dikendalikan lebih 5,000 kelasi membawa lebih 75 pesawat tentera termasuk jet pejuang F-18 Super Hornet.
Selain kekuatan udara, kapal gergasi ini turut dilengkapi sistem radar canggih bagi tujuan kawalan trafik udara serta navigasi sepanjang tempoh operasinya di laut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




