Cadangan had umur 16 tahun guna media sosial dapat sokongan ibu bapa

Cadangan had umur 16 tahun guna media sosial dapat sokongan ibu bapa

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial pada separuh kedua tahun ini mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat yang melihatnya sebagai langkah penting melindungi remaja daripada pengaruh negatif dunia digital.

Tinjauan Harian Metro mendapati majoriti responden bersetuju had umur itu mampu membantu golongan muda lebih matang dalam menilai kandungan serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan isu sosial yang semakin membimbangkan.

Perunding IT, Ruzaini Ramli, 38, berkata, inisiatif itu dilihat tepat bagi memastikan hanya individu yang lebih matang dibenarkan mengakses media sosial.

“Pengguna berumur 16 tahun ke atas kebiasaannya sudah mampu menilai baik dan buruk sesuatu maklumat. Walaupun segala maklumat berada di hujung jari, tidak semuanya memberi manfaat dan pengguna perlu bijak menapis kandungan.

“Remaja bawah 16 tahun lebih mudah terpengaruh dengan kandungan negatif termasuk budaya buli, penggunaan bahasa kesat serta pelbagai isu sosial lain yang kini banyak dipaparkan di platform digital,” katanya.

Katanya, aspek keselamatan siber sebagai faktor utama kerana golongan matang lebih memahami kepentingan melindungi data peribadi daripada didedahkan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Pengurus Besar, Noor Syafina Bukhari, 38, berkata, dia turut menyokong cadangan berkenaan kerana berpendapat remaja belum mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk menilai kesahihan maklumat.

“Pada usia ini, mereka mahu dilihat peka dengan isu semasa, namun belum mampu membezakan antara berita palsu dan benar. Hal ini boleh memberi kesan buruk kepada cara mereka berfikir dan bertindak.

“Remaja juga mudah terikut-ikut dengan trend global yang kadangkala berbahaya serta tidak sesuai untuk perkembangan diri,” katanya.

Bagi suri rumah, Nurliana Mazlan, 38, pelaksanaan had umur itu mampu melindungi remaja daripada tekanan sosial serta kandungan tidak sesuai yang boleh menjejaskan perkembangan emosi dan mental.

“Pada usia muda, mereka masih dalam proses perkembangan dan lebih terdedah kepada buli siber serta pengaruh luar. Had umur ini memberi peluang untuk mereka membina kemahiran sosial secara bersemuka terlebih dahulu.

“Penggunaan media sosial secara berlebihan juga boleh menjejaskan prestasi akademik, waktu tidur serta tahap kesihatan fizikal remaja,” katanya.

Dia berkata, bagaimanapun, pelaksanaan dasar itu perlu disertai pendidikan digital serta pemantauan ibu bapa bagi memastikan keberkesanannya.

“Tanpa bimbingan, remaja mungkin mencari jalan untuk mengakses media sosial secara tidak sah. Kerjasama antara sekolah, keluarga dan kerajaan amat penting,” katanya.

Terdahulu, Indonesia menjadi negara bukan Barat pertama melaksanakan sekatan terhadap akses platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak bawah 16 tahun bermula semalam.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan keperluan had umur itu bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha proaktif kerajaan dalam memastikan generasi muda membesar dalam persekitaran digital yang lebih selamat dan terkawal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top