Eskalator luar terpanjang dunia

Eskalator luar terpanjang dunia

Hong Kong: Meneroka kawasan pusat perniagaan Hong Kong dengan berjalan kaki boleh menjadi cabaran akibat landskap berbukit, cuaca panas dan kelembapan tinggi.

Namun, memetik CNN, pejalan kaki dapat mengurangkan keletihan dengan menggunakan Central-Mid-Levels Escalator sepanjang 800 meter (m) iaitu sistem eskalator luar terpanjang di dunia yang dibuka pada 1993.

Difahamkan, sistem itu terdiri daripada 16 eskalator dua hala dan tiga travelator, semuanya bertutup bagi melindungi pengguna daripada hujan lebat.

Eskalator berkenaan direka mengikut cerun semula jadi bukit dan menghubungkan 13 jalan sibuk dengan trek boleh balik yang menukar arah mengikut aliran pejalan kaki.

Rangkaian ini beroperasi pada kelajuan 0.65 m sesaat dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), sistem Public Address (PA), paparan diod pancaran cahaya (LED) dan bilik kawalan untuk pemantauan.

Dalam pada itu, sistem eskalator ini menyediakan laluan bebas kesesakan antara Central dan Conduit Road di Mid-Levels, dengan 78,000 perjalanan pejalan kaki setiap hari. Penggunaannya adalah percuma.

Menurut media sama, beberapa adegan filem terkenal seperti ‘Chungking Express’ dan ‘The Dark Knight’ dirakam berhampiran eskalator ini. – Agensi

Kedai makanan tradisional Canton, termasuk Lan Fong Yuen, Mak’s Noodle, Yat Lok dan Tai Cheong Bakery juga terletak sepanjang laluan eskalator.

Sementara itu, pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan itu boleh menikmati gelato XTC dan menu baharu di Ho Lee Fook yang menampilkan cita rasa tempatan segar serta moden.

Bengkel cheongsam Linva dan kedai ‘GOD Goods of Desire’ turut berada berhampiran, menawarkan fesyen tradisional dan moden. – Agensi

Dalam pada itu, sistem eskalator berkenaan memudahkan akses ke bar dan kelab popular di kawasan SoHo, termasuk The Old Man dan Penicillin.

Bangunan warisan seperti Central Market, Central Police Station, PMQ dan Muzium Dr Sun Yat Sen juga dapat dilihat sepanjang perjalanan.

Menurut media tempatan, perjalanan penuh mengambil masa kira-kira 20 minit dengan eskalator bergerak menurun antara 6 pagi hingga 10 pagi dan bergerak menaik dari 10 pagi hingga tengah malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top