SUKAR tapi reda, itulah yang dilalui pelakon, Amyza Adnan apabila anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail dipanggil pulang ke pangkuan Illahi akibat kanser paru-paru beberapa bulan sebelum lebaran. Berita pemergian arwah menyita perhatian ramai. Banyak doa dipanjatkan pengguna media sosial baik buat Allahyarham begitu juga Amyza yang melalui ujian sebesar ini.
Ini merupakan kali pertama Amyza meraikan hari kemenangan tanpa salah seorang anaknya. Luluh hati mengenangkan persediaan baju raya tahun ini dibuat awal sesuai dengan permintaan warna kesukaan arwah. Bamun takdir berkata lain.
Pancaindera bertanya khabar, merisik jika Amyza sudi ditemu bual hanya apabila dia sudah bersedia. ‘Marilah, dik’, balasnya ringkas menerusi pesanan WhatsApps di suatu petang. Ikuti temu bual eksklusif bersama Amyza dalam Jawablah istimewa raya.
Terima kasih sudi meluangkan masa walau saya difahamkan Kak Amyza belum bersedia bertemu sesiapa buat masa ini. Bagaimana sekarang?
Sebenarnya saya belum bersedia juga, tapi saya faham ramai orang ambil berat tentang keluarga saya. Jadi, saya mahu menyantuni pihak-pihak yang berdoa buat keluarga saya terutama rakyat Malaysia. Kalau ikutkan, saya memang tidak mahu jumpa orang lagi buat masa ini. Saya beruntung ada kawan-kawan wartawan yang selalu ambil berat. Secara tidak langsung, apabila orang baca artikel, orang akan doakan untuk Andre, orang sedekahkan Al-Fatihah buatnya.
Bagaimana sambutan raya? Saya dengar baju semua sudah dibeli awal.
Benda ini paling tidak mudah untuk hadap. Saya reda, saya terima, tapi ini kali pertama hadap raya tanpa dia. Persiapan raya pun kami buat seminggu sebelum puasa yang mana tidak pernah kami buat sebelum ini.
Saya tahu ini impak besar dalam hidup saya dan anak-anak. Rindu ini, sakit ini, saya akan bawa sampai mati. Hidup perlu diteruskan, cuma kesakitan itu tetap ada selagi hayat dikandung badan.

Baju raya arwah masih Kak Amyza simpan lagi?
(Amyza terdiam, sebak memandang anak keduanya, Adrian Adam Khairil Idzhar yang mesra disapa Ian)
Macam mana, Ian?
Kita tahu arwah anak yang baik, apa kenangan yang Kak Amyza paling rindu setiap kali raya bersama arwah?
Dia suka kari ayam tua. Dia suka sambal sotong saya. Kenangan itu yang mahal.
(Amyza menangis ditenangkan anak kedua). Raya kali ini hilang seri, tapi saya ada dua lagi anak yang perlu saya fokus dan gembirakan. Walaupun saya sedih, saya kena kuat untuk mereka.
Masih ke kubur setiap hari?
Ya, setiap hari. Setiap petang saya bawa bunga baru. Setiap hari juga saya lihat ada orang asing yang datang ziarah dan sedekahkan Al-Fatihah. Itulah hikmahnya apabila berita ini tersebar.
Keadaan anak-anak Kak Amyza pula bagaimana? Mereka rapat sesama adik-beradik.
Saya sebagai mak kadang-kadang rasa macam mementingkan diri pula. Sepatutnya saya yang bagi semangat kepada anak-anak. Tapi anak saya yang nombor dua itu pula yang kena fahami mak dia. Anak bongsu pula dia akan ambil barang abang dia. Dia akan cakap ‘Ini Andre punya, ini lego yang Andre buat’. Mereka adik-beradik memang tidak pernah gaduh. Mereka sangat rapat. Jadi, memang terasa sangat kehilangan itu.

Kak Amyza diuji pula dengan anak kedua, juga disahkan kanser tulang, bagaimana sekarang progres rawatan Ian?
Tipulah kalau tidak fikir bukan-bukan. Dalam fikir baik-baik itu, 50 peratus trauma masih ada sebab anak yang pertama pun macam ini juga (kanser).
Anak-anak semua aktif, positif, tidak fikir stres, tapi akhirnya pergi juga. Benda itu menghantui saya. Tapi dalam takut itu tetap mengharap perkara sama tidak terjadi lagi.
Pernah mempersoalkan di mana puncanya semua ini?
Memang jadi tanda tanya. Ian memang makan sihat, puasa sunat, aktif, tidur tepat waktu. Hendak kata stres, saya dengan anak-anak memang macam kawan. Selalu bergurau. Jadi pelik di mana puncanya. Pemakanan okey, pergaulan okey. Tak tahu hendak cakap.
Ian ada mengadu apa-apa kepada Kak Amyza?
Ian jarang meluah. Dia positif sangat. Macam arwah Andre juga. Tak ada dengar dia mengeluh atau apa.
Cuma saya kalau rindu, saya akan meluah dengan video dan letak lagu. Sampai sekarang saya masih hantar mesej dekat nombor arwah Andre setiap pagi tulis ‘Assalamualaikum Andre, Al-Fatihah Andre’. Juga peringatan kepada saya untuk selalu sedekahkan Al-Fatihah buatnya.
Kak Amyza ada apa-apa hendak cakap buat mereka yang terus mendoakan akak?
Walaupun ada sokongan orang ramai, tapi sunyi dalam hati tetap ada. Apapun, saya ucapkan terima kasih banyak kepada semua yang menyokong.




