Verstappen makin kecewa prestasi Red Bull

Verstappen makin kecewa prestasi Red Bull

Suzuka: Juara dunia empat kali, Max Verstappen mengakui dia ‘sangat kecewa’ selepas prestasi hambar di Grand Prix (GP) Jepun apabila hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Pelumba Red Bull itu bermula di petak ke-11 dan gagal memberi saingan kepada kelompok depan, sekali gus meneruskan kempen musim ini yang tidak konsisten.

“Semalam memang teruk, hari ini saya hanya maksimumkan apa yang ada, tapi perasaan dengan jentera masih sama seperti sesi kelayakan. Saya cuma cuba bertahan sepanjang perlumbaan,” katanya.

Perlumbaan di Suzuka adalah yang terakhir sebelum rehat panjang sehingga Mei selepas perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan susulan konflik di Asia Barat.

Verstappen berkata, dia akan menggunakan tempoh rehat untuk berlumba dalam acara lain termasuk perlumbaan 24 Jam Nurburgring, selain berbincang dengan pasukan bagi memperbaiki prestasi jentera.

“Kami perlu cari lebih kelajuan dan keseimbangan lebih stabil. Situasi ini tidak boleh berterusan, kami perlu faham masalah dan buat penambahbaikan,” katanya.

Pelumba Belanda itu sebelum ini mendominasi Suzuka dengan empat kemenangan berturut-turut, namun musim ini menyaksikan keputusan terbaiknya hanyalah tempat keenam di Australia.

Rakan sepasukan, Isack Hadjar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Ketua pasukan, Laurent Mekies mengakui pasukan masih bergelut memahami kelemahan jentera.

Katanya, tiada satu punca khusus dikenal pasti dan pasukan perlu bekerja keras dalam semua aspek bagi meningkatkan prestasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top