Harga minyak naik? Ahmad Maslan cadang naik basikal, kaedah sihat untuk jarak dekat

Harga minyak naik? Ahmad Maslan cadang naik basikal, kaedah sihat untuk jarak dekat

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mencadangkan tujuh langkah bagi menangani kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk menggalakkan penggunaan basikal bagi perjalanan jarak dekat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, cadangan lain termasuk memperbanyakkan pengeluaran, penjualan dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti kereta, motosikal dan bas.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan supaya kajian serta pembinaan kilang biodiesel berasaskan kelapa sawit untuk kegunaan berskala besar dipertingkatkan.

“Untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam menangani kenaikan harga petrol dan diesel, cadangan saya ini boleh difikirkan antaranya memberi insentif kepada carpooling iaitu berkongsi kenderaan ke tempat kerja.
“Cadangan lain ialah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam daripada menggunakan kenderaan sendiri,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Ketegangan di Asia Barat kian memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari.

Artikel lain: Mat Sabu ajak rakyat bercucuk tanam di rumah! Kurangkan kebergantungan bekalan import

Impak daripada perkembangan itu menyaksikan harga minyak global meningkat, sekali gus memaksa beberapa negara mengambil langkah drastik bagi mengurangkan tekanan akibat kekurangan bekalan bahan api.

Dalam pada itu, Ahmad turut mencadangkan agar kerajaan mencari laluan import dan eksport minyak yang tidak melalui kawasan sensitif atau berisiko konflik.

Beliau pada masa sama berpandangan Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan dagang dengan pelbagai negara bagi memastikan manfaat berterusan kepada rakyat.

Scroll to Top