Zoo Taiping ke Jepun bulan depan pantau keadaan tiga gajah

Zoo Taiping ke Jepun bulan depan pantau keadaan tiga gajah

IPOH: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) akan mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun dalam masa terdekat bagi memantau perkembangan tiga ekor gajah dari Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, lawatan dijangka berlangsung pada bulan hadapan itu bertujuan memastikan haiwan berkenaan berada dalam keadaan baik dan persekitarannya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, lawatan itu merupakan yang pertama diadakan sejak ketiga-tiga gajah berkenaan tiba di Jepun pada 11 Mac lalu.

“Saya belum menerima laporan khusus selepas penghantaran ketiga-tiga gajah tersebut namun difahamkan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Kesedaran Keselamatan Awam sempena Program Satelit PMR (Program Madani Rakyat) anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Aeon Mall Kinta City, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.

Menurut beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak zoo kedua-dua negara sebelum ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan lawatan sebelum penghantaran dibuat

Katanya, lawatan berkenaan bagi memastikan persekitaran gajah di zoo tersebut adalah sesuai dan memenuhi piawaian ditetapkan.

“Dalam masa terdekat, pihak ZTNS akan mengadakan lawatan ke Tennoji Zoo bagi meninjau keadaan gajah yang dihantar, sekali gus memastikan penjagaannya mematuhi garis panduan ditetapkan serta berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas desakan orang ramai yang menggesa gajah tersebut dibawa pulang kerana tidak berpuas hati dengan pengendalian zoo di Jepun, beliau berkata keadaan haiwan berkenaan berbeza apabila dibandingkan dengan kehidupan di ‘sanctuary’.

“Kalau mahu dibandingkan keadaan di zoo dan sanctuary, ia sudah pasti berbeza,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan reaksi sedih dan kebimbangan orang ramai mengenai penghantaran haiwan tersebut ke Jepun.

Rata-rata mereka mempersoalkan aspek keselamatan, kebajikan dan kesesuaian haiwan itu menyesuaikan diri dengan cuaca serta persekitaran baharu di negara berkenaan. – UTUSAN

 

Scroll to Top