am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seramai 92 individu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi operasi penguatkuasaan hutan di Bukit Pau (Kemensah), Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan, Gombak hari ini.
JPNS berkata, operasi itu diketuai Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad bersama 22 kakitangan bermula jam 6 pagi hingga 3 petang.
“Kesemua individu ini dikesan menjalankan aktiviti rekreasi pendakian tanpa kebenaran atau Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (Borang 6) yang dikeluarkan JPNS.
“Mereka dipercayai menyertai acara anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dalam Hutan Simpan Kekal yang tidak mendapat kebenaran oleh JPNS,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
JPNS berkata, penganjur dan kesemua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Taman Melawati bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh pihaknya.
Tegasnya, penggemar aktiviti rekreasi dan penganjur acara dinasihatkan supaya peka akan keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal terlebih dahulu sebelum menjalankan acara.
“Tindakan tegas boleh diambil kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




