kalbana@nst.com.my
Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di Klang hari ini selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.
“Siasatan awal mendapati sebuah Honda City yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, impak pelanggaran menyebabkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, ujian saringan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif alkohol dan dadah.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, didenda antara RM50,000 hingga RM100,000, serta lesen memandu digantung serta-merta.
“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun,” katanya.
Lim menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




