Kerajaan teliti kaedah penyaluran bantuan kepada pemilik bot nelayan Zon C2

Kerajaan teliti kaedah penyaluran bantuan kepada pemilik bot nelayan Zon C2

am@hmetro.com.my

Kemaman: Kerajaan akan mencari kaedah terbaik dalam menyalurkan bantuan terutamanya kepada pemilik bot kategori Zon C2 di seluruh negara berikutan kenaikan harga diesel.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, peningkatan harga bahan api kesan krisis yang berlaku di Asia Barat itu turut mendatangkan kesan kepada pemilik bot terbabit.

“Kita faham pemilik bot kategori Zon C2 ini paling terkesan kerana mereka tidak menikmati subsidi sebagaimana bot nelayan Zon A, B dan C yang menerima subsidi dengan harga RM1.65 seliter.

” Kenaikan harga minyak menyebabkan kos operasi penangkapan ikan meningkat sekaligus mendatangkan tekanan kepada nelayan terbabit,” katanya pada Majlis Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kemasik di Kertih, dekat sini, petang tadi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 31 nelayan seperti enjin sangkut, pukat, tong insulasi 100 liter serta jaket keselamatan.

Muhammad Faiz berkata, golongan nelayan Zon C2 membeli minyak diesel dengan harga industri sebanyak RM5.52 seliter.

“Setakat ini sebanyak 733 buah bot kategori Zon C2 beroperasi di seluruh negara dengan melibatkan seramai 9,598 nelayan.

“Kita dapati pemilik bot telah membuat rayuan dan kita akan melihat bagaimana kaedah terbaik untuk membantu mereka,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, bot nelayan kategori Zon C2 merekodkan tangkapan ikan sebanyak 168,511 tan metrik setahun.

“Jumlah keseluruhan bot nelayan kategori Zon A sebanyak 41,282 buah, Zon B 4,161 buah manakala Zon C sebanyak 2,997 buah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, fenomena cuaca panas yang berlaku di negara ketika ini tidak menjejaskan jumlah pendaratan ikan dan setiap tahun purata sebanyak 707,009 tan metrik pendaratan ikan direkodkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top