mohamadridzuan@hmetro.com.my
TIADA kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan gadis manis berketurunan Cina, Mekyun atau nama sebenarnya, Wee Yu Nee, 29, apabila impiannya kini menjadi kenyataan.
Bermula sebagai pempengaruh atau pencipta kandungan, Mekyun kini melebarkan langkah sebagai Duta Kandungan Watsons dan pelbagai bidang baharu yang lain.
“Saya sangat lega dan gembira kerana kini mempunyai kelompok peminat tersendiri. Mereka amat menyokong apa yang saya lakukan. Sebab mereka memang ‘follow’ (ikut) saya daripada saya mula lagi.
“Jadi penerimaan mereka sememangnya amat positif. Sebenarnya saya pun tak sangka dan sebelum ini tak meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada karier saya.
“Tapi saya memang ada letakkan ‘target’ dan ‘goal’. Kalau boleh saya nak kembangkan lagi daripada hanya jadi seorang ‘content creator’ kepada bidang lain,” katanya.
Graduan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini berkata, dia meletakkan sasaran untuk bergelar duta jenama dan bersyukur akhirnya menjadi kenyataan.
“Seronok dapat bekerjasama dengan Watsons, antara jenama yang saya sayang dari dulu sampai sekarang. Kontrak saya dengan mereka bermula sejak tahun lalu.
“Saya juga pernah ditawarkan berlakon sebelum ini tapi belum ada rezeki berbuat demikian. Jadi saya memang fokus kepada bidang pencipta kandungan.
“Sekarang memang saya fokus kepada kempen serta kepada pekerjaan saya. Sekarang juga masanya saya sasarkan untuk melancong sebanyak mungkin, selagi saya boleh dan selagi mampu,” katanya.
Tanpa berselindung, Mekyun melahirkan perasaan hormat terhadap pelakon kerana kental dalam karier ini.
“Saya rasa saya pernah mencuba, jadi saya rasa macam susahlah sebenarnya. Bukan semua orang boleh buat. Saya sendiri pun dah rasa macam ia menguji mental saya.
“Itulah sebabnya sekarang saya fokus kepada konten. Dulu saya pernah berlakon watak yang ‘bimbo’, tak betul dan agak kelam-kabut.
“Saya rasa bertuah sebab bukan senang untuk seorang perempuan berbangsa Cina untuk dapat tawaran berlakon dalam industri Malaysia kita ini,” katanya.
Mekyun pernah membintangi drama Misi Terpaling Sulit-B. A. R. I. S. T. A yang ditayangkan menerusi Astro dua tahun lalu.
“Tawaran diberikan secara terus tanpa saya perlu menjalani uji bakat. Penerbit terus pilih mungkin sebab dah tengok konten saya sebelum itu.
“Dalam konten itu, saya ada buat macam saya berlakon sikit. Mungkin daripada situ mereka nampaklah. Perjalanan saya untuk berlakon tak sukar sangat,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui hakikat untuk berlakon memerlukan mental yang sangat kuat disebabkan perlu menunggu lama di lokasi.
“Buat masa ini biarlah dulu. Mungkin satu hari nanti kalau saya betul-betul rasa okey, saya nak cubalah pengalaman untuk fokus berlakon.
“Mungkin juga saya akan belajar dengan guru lakon untuk memantapkan lakonan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



