Johannesburg: Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe menegaskan beliau akan menghormati keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan Senegal selepas gelaran Piala Negara-Negara Afrika mereka ditarik balik.
“Saya akan menghormati dan melaksanakan keputusan CAS. Pandangan peribadi saya tidak relevan,” kata Motsepe pada sidang media di Kaherah selepas mesyuarat eksekutif CAF.
Rayuan Senegal dibuat selepas badan rayuan CAF membatalkan kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah Morocco pada final 18 Januari lalu.
Beberapa pemain Senegal bersama ketua jurulatih, Pape Thiaw serta staf bertindak keluar padang di Rabat selepas Morocco diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Selepas kembali ke padang, Brahim Diaz gagal menyempurnakan penalti itu, sebelum Pape Gueye menjaringkan gol masa tambahan untuk memastikan kemenangan Senegal.
Jawatankuasa disiplin CAF kemudian mengenakan denda terhadap beberapa individu daripada kedua-dua pasukan, namun keputusan perlawanan kekal.
Morocco kemudian mengemukakan rayuan dan diberikan kemenangan 3-0, dengan Motsepe menegaskan badan rayuan dianggotai hakim serta peguam bebas.
Ketika Senegal menentang Peru dalam aksi pemanas badan Piala Dunia 2026 di Paris, Sabtu lalu, mereka tetap mempamerkan trofi kejohanan itu.
Senegal turut beraksi dengan jersi dua bintang – satu bagi kejuaraan 2022 dan satu lagi bagi kemenangan yang masih dipertikaikan pada Januari.
Motsepe memaklumkan beliau akan melawat Senegal dan Morocco bagi menekankan kepentingan kerjasama dalam memajukan bola sepak Afrika.
© New Straits Times Press (M) Bhd




