am@hmetro.com.my
Kuantan: Pantai peranginan popular Teluk Cempedak di sini sememangnya sering menjadi pilihan penduduk bahkan pelancong untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam.
Rata-rata pengunjung juga tidak akan melepaskan peluang untuk bertandang sama ke Teluk Tongkang yang terletak bersebelahan Teluk Cempedak, sementelah terdapat laluan pejalan kaki jenis boardwalk yang dibina menghubungkan dua pantai itu.
Namun, sejak lebih setahun lalu, situasi berbeza berlaku apabila kemudahan yang dianggarkan sepanjang 800 meter ditutup sepenuhnya daripada pengunjung.
Penutupan dikatakan demi menjamin keselamatan pengunjung selepas laluan itu didakwa rosak dan berbahaya.
Tinjauan di kawasan terbabit turut mendapati lantai dan penghadang laluan mengalami kerosakan serius kesan daripada pokok atau dahan yang tumbang di atas laluan berkenaan.
Pada masa sama, faktor cuaca menyebabkan laluan pejalan kaki itu kelihatan semakin uzur, memaksa pihak berkuasa tempatan menutupnya sementara.
Di sebalik penutupan itu, rata-rata pengunjung yang pernah ke Teluk Tongkang mahu pihak berkuasa segera memperbaiki dan menaik taraf laluan pejalan kaki itu.
Muhammad Hazrat Sahmudin, 24, dari Indera Mahkota Dua berkata, dia terkilan tiada sebarang pembaikan dilaksana ketika ini dan menyifatkan suatu pembaziran sekiranya kemudahan itu tidak dinaik taraf.
“Laluan pejalan kaki ini memiliki tarikan tersendiri kerana dibina di celah-celah batu dan di tepi bukit yang membolehkan pengunjung melihat keindahan pantai serta menikmati pemandangan.
“Sebagai warga Kuantan, saya harap pihak yang berkenaan dapat menyegerakan kerja membaiki atau menaik taraf laluan ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hakimi Mohd Heri, 20, dari Seri Damai berkata, selain pantai Teluk Cempedak yang menjadi pilihan pelancong, laluan pejalan kaki itu juga tarikan pengunjung yang suka meneroka.
“Sebaiknya pihak yang berkenaan menyegerakan kerja menaik taraf laluan ini kerana pantai Teluk Tongkang mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




