NEW DELHI: Kerajaan India pada Jumaat meluluskan cadangan pembelian peralatan pertahanan bernilai AS$25 billion (RM100 billion) termasuk sistem peluru berpandu pertahanan udara S-400 buatan Russia, pelbagai jenis pesawat dan sistem artileri sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan tentera.
Cadangan perolehan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Perolehan Pertahanan (DAC), badan pembuat keputusan tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai pembelian ketenteraan yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Rajnath Singh.
Kenyataan rasmi daripada kementerian memaklumkan bahawa kelulusan itu merangkumi tambahan sistem S-400 Triumph Russia, pesawat pengangkut bagi menggantikan armada lama pesawat An-32 dan Il-76 era Kesatuan Soviet serta pelbagai sistem artileri.
Perolehan itu turut meliputi peluru kereta kebal penebus perisai, sistem meriam dan sistem pengawasan udara untuk tentera darat, naik taraf pelanjutan jangka hayat jet pejuang Su-30 yang dikendalikan tentera udara serta hoverkraf untuk pengawal pantai.
Kelulusan baharu tersebut meliputi lima unit S-400, sebagai tambahan kepada lima unit yang dikontrakkan sebelum ini oleh India pada 2017. Tiga daripada unit berkenaan telah pun dihantar, manakala baki dua lagi dijangka tiba tahun ini, menurut laporan media. Sistem tersebut mendapat pujian daripada tentera India semasa ketegangan hubungan dengan Pakistan pada 2025.
Secara berasingan, kementerian turut menandatangani kontrak bernilai 4.45 bilion rupee (RM188 juta) pada Jumaat dengan pengeksport tentera Russia, Rosoboronexport untuk memperoleh sistem peluru berpandu pertahanan udara Tunguska bagi kegunaan tentera darat.
Secara keseluruhan, India telah meluluskan 55 cadangan bernilai 6.73 trilion rupee (RM284 bilion). New Delhi turut menandatangani kontrak bagi 503 lagi cadangan berjumlah 2.28 trilion rupee (RM90 billion) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, lapor kenyataan itu sambil menambah bahawa kedua-dua angka tersebut adalah yang tertinggi dalam satu tahun kewangan.
India merupakan negara kelima dengan perbelanjaan ketenteraan terbesar di dunia dan pengimport senjata kedua terbesar selepas Ukraine, menurut data terkini daripada Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.
Lebih 60 peratus persenjataan India adalah berasal dari Kesatuan Soviet yang kini dibubarkan dan dikenali sebagai Russia, walaupun negara itu kini giat mencari teknologi dan peralatan daripada pelbagai pembekal lain termasuk Perancis, Amerika Syarikat (AS), Israel dan Jerman. -AGENSI




