Musa tekan kepentingan naik taraf kemudahan asas di Sabah

Musa tekan kepentingan naik taraf kemudahan asas di Sabah

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menekankan keperluan menaik taraf jalan raya, sistem bekalan air bersih dan elektrik yang stabil di Sabah.

Menerusi perutusan khas sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 beliau hari ini, Musa berkata, usaha itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, tiga kemudahan asas itu juga penting bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar.

“Pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Musa turut menekankan kepentingan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras keperluan pasaran kerja masa kini.

Tidak ketinggalan, katanya penekanan terhadap aspek kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

Dalam perutusannya, Musa turut menggesa agar seluruh rakyat Sabah terus memelihara perpaduan, memperkukuh integriti dan mengutamakan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi kestabilan dan kemajuan Sabah.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

“Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top