“Anak Mama Kuat! Kesilapan Itu Bukan Bermakna Adik Gagal” – Abby Abadi Titip Nasihat Buat Marissa Dania

“Anak Mama Kuat! Kesilapan Itu Bukan Bermakna Adik Gagal” – Abby Abadi Titip Nasihat Buat Marissa Dania

Pelakon Abby Abadi tampil memberikan kata-kata semangat dan nasihat buat anak perempuannya, Marissa Dania Hakim.

Kata Abby menerusi perkongsian di Instagram, setiap individu berhak melalui proses kehidupan masing-masing dan tidak perlu terburu-buru dalam memahami erti hidup.

Malah, dia turut menasihatkan Marissa agar tidak mudah terikut-ikut dengan orang lain, sebaliknya melakukan sesuatu perkara yang benar-benar memberi nilai dalam kehidupan.

“Kalau hari ini Adik belum faham erti hidup, tak apa. Yang penting terus belajar.

“Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tapi buat bila sesuatu itu memberi ‘nilai’ untuk hidup Adik.

“Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tapi pada jiwa dan hati yang tenang,” luahnya.

Dalam hantaran sama juga, Abby menegaskan usia 20 tahun adalah fasa pembelajaran dan pembentukan diri untuk menjadi lebih matang pada masa akan datang.

“Nasihat Mama, Adik baru 20 tahun. Kesilapan itu bukan bermakna Adik gagal.

“Itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat! Insyaa-Allah sekali lagi,” kongsinya.

Hari ini, Marissa dan suaminya, Aslam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk.

Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025, sebelum melakukan lafaz rujuk pada tahun yang sama.

Pada 27 Mei, Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan status nikah Marissa dan Aslam Rashid di Songkhla, Thailand.

Scroll to Top