harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penangkapan seorang gelandangan lelaki Khamis lalu merungkai teka-teki siapa dalang di sebalik kira-kira 30 kes pecah kedai di sekitar ibu negara, di sini, sejak Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan menerusi Ops Cash Box ketika suspek sedang cuba menyamun sebuah kedai sekitar Chow Kit .
Menurutnya, suspek dipercayai penjenayah tegar yang gemar melakukan kegiatan pecah kedai untuk mengambil kotak wang tunai bukan sahaja di ibu negara malah di beberapa negeri lain membabitkan kerugian mencecah RM59,546 yang disahkan setakat ini.
“Modus operandi sangat mudah, dia tak ada rumah dan boleh dikatakan sebagai gelandangan, di mana dia mahu tidur, dia tidur dan dia ini lone ranger (bersendirian).
“Nampak kedai serbaneka dia cuba goyangkan pintu kaca kalau tak boleh buka dia pecahkan guna batu dan curi kotak wang tunai, ada satu kes dia larikan tunai cecah RM27,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mohd Lazim berkata, suspek bukan sahaja disyaki terbabit dengan sekurang-kurangnya 30 kes di ibu negara malah dipercayai terbabit dengan kegiatan itu di enam kontinjen lain.
Katanya, pergerakan suspek tidak menunjukkan corak tertentu sebaliknya lelaki itu sering merayau-rayau tanpa arah menaiki motosikal dicuri dan pengangkutan awam malah sasaran juga dipilih secara rawak.
Menurutnya, suspek bekas banduan yang baru dibebaskan pada Mac tahun lalu selepas dipenjara 18 bulan atas kesalahan sama mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Suspek berasal dari Perak ini memang ‘diikuti’ banyak pihak termasuk kami, dia tiada pekerjaan, belum berumah tangga dan 30 kes berkenaan memang hanya di Kuala Lumpur dan dia mengaku terbabit.
“Dia ini ada 26 rekod lampau dan pergerakan dia memang random (rawak), dia selalu buat kerja tengah malam ke awal pagi semasa kedai tak beroperasi,” katanya.
Menurutnya, semakan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kejadian pecah kedai yang mungkin dilakukan suspek terbabit termasuk di negeri-negeri lain.
Katanya, susulan penahan itu pihak polis merampas pelbagai barangan disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah dan dua motosikal yang dilaporkan hilang di Jinjang di sini dan ditemui di Johor.
“Suspek direman tujuh hari bermula 27 Mac hingga 2 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan membabitkan 11 kes di Wangsa Maju, Dang Wangi (7 kes), Cheras (6 kes), Sentul (4 kes) dan Brickfields (2 kes).
“Semakan juga sedang dijalankan di kontinjen berkaitan membabitkan modus operandi sama di negeri-negeri lain,” katanya.
Katanya, risikan dan tangkapan dijalankan Bahagian D4 (Risikan / Operasi / Rekod Jenayah ) Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju.
© New Straits Times Press (M) Bhd



