
Bablu maut selepas kepalanya dipenggal seorang lelaki di negeri Uttar Pradesh pada Sabtu. Foto: Agensi
NEW DELHI – Seorang penjual aiskrim berusia 25 tahun maut dalam kejadian kejam selepas kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki dalam satu insiden tragis di negeri Uttar Pradesh pada Sabtu.
Mangsa yang dikenali sebagai Bablu dilaporkan berada di Kampung Parsawal seperti kebiasaannya untuk menjual aiskrim sebelum terlibat dalam pertengkaran mulut dengan seorang penduduk tempatan, Shankar Yadav, 50.
Menurut pihak polis, pertengkaran tersebut bertukar ganas apabila suspek menyerang mangsa menggunakan sabit dengan mengelar lehernya sehingga putus di hadapan orang awam.
Lebih mengejutkan, suspek kemudian membawa kepala mangsa pulang ke rumahnya yang terletak di kampung sama sebelum bertindak seolah-olah tiada apa-apa berlaku dengan memasak di dalam rumah tersebut.
Pihak polis yang menerima maklumat segera ke lokasi dan mengepung kawasan berkenaan di bawah arahan Ketua Polis Daerah, Arpit Vijayvargiya.
Ketika serbuan dilakukan, polis menemui suspek di dalam rumah dalam keadaan sedang memasak, manakala kepala mangsa berada berhampiran.
Suspek kemudiannya ditahan dan senjata yang digunakan turut dirampas.
Mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan tersebut.
Difahamkan, mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan menyara keluarga melalui kerja buruh serta menjual aiskrim.
Isteri dan dua anaknya dilaporkan berada dalam keadaan terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang penjual aiskrim, Bablu, maut selepas dipenggal kepala di Uttar Pradesh. Pertengkaran antara Bablu dan Shankar Yadav bertukar ganas hingga Yadav menyerang menggunakan sabit. Suspek membawa pulang kepala mangsa sebelum ditahan polis. Polis menemui kepala mangsa di rumah suspek yang sedang memasak. Mangsa adalah anak sulung yang menyara keluarga melalui kerja buruh dan menjual aiskrim.



